Sesi libat urus program advokasi kod sukan selamat tekankan amalan SDG & ESG
Gambar oleh Pusat Kokurikulum
SINTOK, 29 November 2025: Program Sesi Libat Urus Program Advokasi Kod Sukan Selamat telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar C, STML.
Program anjuran Pusat Kokurikulum dengan Kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai aspek keselamatan, integriti dan etika dalam sukan selaras dengan keperluan pembangunan sukan yang mampan.

Program yang diadakan dari jam 9 pagi hingga 1 petang itu menampilkan pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah sebagai penceramah utama.
Beliau berkongsi panduan dan garis panduan terkini berkaitan Kod Sukan Selamat, termasuk langkah pencegahan salah laku, mekanisme aduan, serta kepentingan membina persekitaran sukan yang bebas daripada gangguan, diskriminasi dan penyalahgunaan kuasa.
Seramai hampir 200 peserta terdiri daripada pelajar kursus golf dan sains sukan hadir bagi mengikuti sesi berimpak tinggi ini.
Program turut disertai oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad, yang menekankan bahawa pendekatan sukan selamat merupakan komponen penting dalam mencapai Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 5 (Kesaksamaan Gender).

Menurut Dr. Za’im, penerapan elemen Environmental, Social and Governance (ESG) dalam pengurusan aktiviti sukan amat penting bagi membina ekosistem sukan yang bertanggungjawab dan berintegriti.
Dari aspek sosial, pelaksanaan Kod Sukan Selamat memastikan kesejahteraan serta perlindungan peserta. Dari sudut tadbir urus pula, institusi yang menguruskan sukan perlu menunjukkan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan terhadap dasar keselamatan yang ditetapkan.
Para peserta turut berkongsi pandangan bahawa sesi sebegini memberi nilai tambah kepada pemahaman mereka sebagai bakal tenaga kerja dalam industri sukan. Mereka menyatakan bahawa kesedaran tentang keselamatan, hak peserta dan amalan profesional adalah asas penting ke arah membentuk landskap sukan yang lebih inklusif dan selamat.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif, memberi ruang kepada pelajar dan penceramah bertukar idea serta cadangan bagi mengukuhkan pelaksanaan Kod Sukan Selamat di peringkat universiti dan komuniti. Penganjuran program ini membuktikan komitmen Pusat Kokurikulum dalam menerapkan budaya sukan yang sihat, beretika dan selari dengan agenda pembangunan mampan negara. – Nur Khairiel Anuar



