Campus

AGNUUM terima 18 pelajar baharu EDBM Kohort 2

Gambar Sazanur Iman Salenin

SINTOK, 8 Jun 2026: Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM) telah berjaya menganjurkan Sesi Taklimat dan Pendaftaran Pelajar Baharu Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan (EDBM) bagi kohort 2 pada 4 Jun lalu di Kelab Golf Sultan Sallehuddin.

Seramai 18 pelajar baharu telah mendaftar bagi mengikuti program EDBM kohort 2 yang terdiri daripada 17 pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan.

Semua pelajar yang mendaftar telah ditempatkan di Inapan Siswa (Inasis) Yayasan Al Bukhary bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka terjamin sepanjang menjalani pengajian di kampus, malah membolehkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti akademik dan latihan golf yang dirancang.

Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman telah menzahirkan rasa bangga atas pemilihan AGNUUM sebagai destinasi ilmu bagi melahirkan pemain golf  yang profesional, berilmu dan berperwatakan holistik.

Beliau berharap semua pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran profesional dan pembangunan sahsiah diri.

Selain itu, beliau turut menekan peri pentingnya disiplin, komitmen dan pengurusan masa yang efisien serta melibatkan diri secara aktif dalam program-program anjuran universiti selaras dengan hasrat AGNUUM untuk melahirkan “The Thinking Athletes”.

Pelajar turut didedahkan struktur program pengajian, keperluan kredit bergraduat, kaedah pengajaran dan pembelajaran, sistem pentaksiran, jadual akademik, peraturan universiti serta pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti untuk menyokong proses pembelajaran pelajar termasuk etika sebagai pelajar melalui taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) AGNUUM, Prof. Madya Dr. Soo Hooi Sin.

AGNUUM berharap kemasukan pelajar baharu EDBM Kohort 2 akan terus memperkukuhkan usaha institusi dalam mengekalkan bakat serta melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan, di samping memastikan kesiapsiagaan dalam mendepani keperluan masa hadapan dan cabaran global.

Kemenjadian pelajar atlet ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pembangunan sukan perlu disokong dengan ilmu dan didokong dengan persekitaran pembelajaran yang komprehensif. – Mohamad Adzwan Mohamad Akhir

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button