Education

Pusat Kelestarian UUM buka lembaran baharu dengan OIB Group

Berita dan gambar Muhammad Luqman Hakim Rosdi

SUNGAI PETANI, 8 Jun 2026: Pusat Kelestarian Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azharudin Ali telah mengadakan lawatan kunjungan hormat ke ibu pejabat OIB Group bertempat di Sungai Petani bagi membuka lembaran baharu dalam jalinan sinergi strategik antara pihak universiti dan industri.

Lawatan rasmi ini menjadi penanda aras penting dalam usaha mempertautkan kepakaran akademik menara gading dengan dinamisme sektor korporat.

Pertemuan ini disambut oleh Pengarah Eksekutif OIB Group, Low Kok Shen bukan sahaja mempertemukan dua entiti besar di negeri Kedah, malah berfungsi sebagai platform dinamik untuk memacu agenda pembangunan mampan secara lebih inklusif.

Dr. Azharudin  berkata, matlamat utama kunjungan hormat ini adalah untuk memperkenalkan kewujudan, visi, dan peranan komprehensif Pusat Kelestarian UUM kepada barisan pengurusan tertinggi OIB Group.

Melalui sesi suai kenal ini, menurutnya, kedua-dua pihak berpeluang bertukar pandangan serta meneroka pelbagai potensi projek bersama yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Langkah proaktif ini dilihat mampu menyelaraskan kepakaran universiti dengan keperluan operasi industri, sekali gus memastikan hasil intelektual universiti dapat diaplikasikan secara praktikal bagi menyelesaikan cabaran sebenar sektor pembangunan dan perniagaan,” katanya.

Dalam sesi perbincangan tersebut, fokus utama diberikan kepada penerokaan peluang kolaborasi strategik yang berpaksikan agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta amalan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Pihak UUM dan OIB Group melihat integrasi elemen ESG amat kritikal dalam acuan perniagaan moden hari ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. Malah, perancangan inisiatif CSR yang bakal direka bersama dijangka mampu menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG ) yang digariskan di peringkat global secara lebih berstruktur dan berimpak tinggi.

Selain daripada aspek kelestarian korporat, perbincangan turut memperincikan usaha pemanduan program pembangunan komuniti setempat, penyediaan program pendidikan dan latihan, serta pelaksanaan penyelidikan kelestarian yang komprehensif.

Kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan akan membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan peningkatan kemahiran modal insan kedua-dua belah pihak, malah kesepakatan awal antara Pusat Kelestarian UUM dan OIB Group ini bukan sekadar satu pencapaian buat kedua-dua organisasi, tetapi juga merupakan satu langkah kanan yang signifikan ke arah pembentukan masa depan negara yang lebih hijau, makmur, dan sejahtera.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button