Kereta Pneumatik menguji Daya, Reka Bentuk, Kelajuan dan Kreativiti Murid SK Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah
Gambar oleh Prof. Madya Dr. Sharmila Karim dan Shahirah Osman
KODIANG, 4 November 2025: Sempena Program STEM Camp 2025 bertajuk Genius Cilik STEM di bawah tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), satu lagi pembelajaran interaktif berasaskan matematik dan sains dilaksanakan melalui aktiviti pembinaan Kereta Pneumatik.

Objektif utama aktiviti ini adalah menggabungkan prinsip fizik, kejuruteraan dan aerodinamik dalam membina serta menguji kereta yang digerakkan oleh udara termampat. Gabungan ketiga-tiga prinsip ini menjadikan ia sesuai untuk program STEM yang mencabar dan menyeronokkan. Aktiviti ini menggalakkan murid-murid berfikiran secara kritis, kreatif dan memiliki kemahiran menyelesakan masalah.
Dari segi Fizik, murid-murid mengaplikasi Prinsip Daya dan Gerakan. Dari sudut Kejuruteraan pula, murid-murid fokus kepada Reka Bentuk Struktur Kereta supaya lebih laju dan stabil. Manakala dari segi Aerodinamik, murid perlu berfikir bagaimana udara mempengaruhi kelajuan dan pergerakan.

Program ini melibatkan penyertaan 100 murid tahap dua iaitu darjah lima dan enam dari SK Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah.
Dalam aktiviti kali ini, terdapat tiga fasa utama iaitu fasa pembinaan, fasa pengujian dan fasa perlumbaan Kereta Pneumatik yang dibina. Murid-murid bersaing dalam tempoh masa yang telah ditetapkan untuk menyiapkan pembinaan dan pengujian kereta tersebut.

Selepas menyiapkan pembinaan kereta, murid-murid perlu menguji daya tujahan dengan meniup belon untuk menggerakkan kereta binaan masing-masing.
Semasa perlumbaan, Kereta Pneumatik dijalankan dalam dua sesi, tiada muatan dan dengan muatan. Rekod pergerakan dicatat berdasarkan jarak yang dicapai dalam litar perlumbaan yang telah disediakan. Disamping itu, ciri-ciri seperti kualiti, kreativiti dan kestabilan binaan juga turut diukur. Pasukan terbaik dalam aktiviti ini dipilih berdasarkan markah tertinggi.

Seterusnya, murid-murid juga diberi peluang mengutarakan pendapat dan menjawab soalan secara berkumpulan di atas Papan Cabaran dan Solusi dalam Litar Refleksi STEM. Terdapat lima stesen yang disediakan untuk litar ini iaitu Reka & Cuba, Booster Idea, Tekanan & Halaju, STEM & Dunia Sebenar, dan stesen terakhir ialah Impak & Peningkatan.
Program ini dikendalikan oleh empat perunding dari SQS yang diketuai oleh P.M. Dr. Hashibah Hamid dengan tiga orang ahli iaitu P.M. Dr. Sharmila Karim, Cik Rohaiza Zakaria dan Zakiah Hashim. Disamping itu, terdapat beberapa orang yang terdiri daripada staf dan pelajar SQS juga turut terlibat sebagai fasilitator.
Program ini bukan sahaja menyerlahkan potensi murid sekolah rendah dalam bidang STEM, tetapi juga memupuk kerjasama, kemahiran berkomunikasi dan daya saing sihat dalam kalangan murid.
Menurut Guru Besar SK Tunku Bendahara, Ku Ahmisuhaimi Ku Ahmad, aktiviti Kereta Pneumatik ini diharapkan mendorong murid-murid sekolahnya dapat melihat sains dan matematik bukan sekadar mata pelajaran akademik, tetapi sebagai pengalaman penerokaan yang menyeronokkan serta berkait rapat dengan kehidupan sebenar.
Ku Ahmi juga berharap agar murid sekolahnya akan lebih meminati dengan dua subjek penting ini. – Rohaiza Zakaria & Hashibah Hamid



