UUM jadi tuan rumah UniCC bincang kegiatan pelajar selaras SDG dan ESG
Gambar Muhamad Sulhi Mansor
SINTOK, 4 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menjadi pusat tumpuan apabila diberi amanah sebagai tuan rumah Mesyuarat Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Kokurikulum, UUM.
Mesyuarat penting ini menghimpunkan semua pengarah serta wakil Jabatan dan Pusat Kokurikulum dari universiti awam seluruh negara demi memperkukuhkan hala tuju kokurikulum pendidikan tinggi.

Mesyuarat turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden, yang hadir bagi menyokong usaha penyelarasan kokurikulum di peringkat nasional.
Kehadiran beliau memberi nilai tambah kepada perbincangan khususnya dalam memastikan dasar serta pelaksanaan kokurikulum di UA selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, merangkap Pengerusi UniCC, Dr. Za’im Ahmad bersama Timbalan Pengerusi, Prof. Madya Ts. Dr. Nik Noriman Zulkepli dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Dr. Za’im berkata, kokurikulum masa kini perlu menjadi wadah pembentukan pelajar yang bukan sahaja aktif tetapi juga berketerampilan tinggi dalam aspek kepimpinan, nilai dan tanggungjawab sosial.

Beliau turut menekankan keperluan kerjasama bersepadu antara universiti awam bagi memastikan standard pelaksanaan kokurikulum lebih tersusun, seragam dan progresif.
Mesyuarat kali ini memberi fokus khusus kepada penyelarasan kegiatan pelajar selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan penerapan Elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam merangka aktiviti kokurikulum secara holistik.
Antara agenda dan perbincangan utama termasuklah penggubalan model aktiviti pelajar berteraskan kelestarian dan kesejahteraan komuniti, pengukuhan program kesukarelawanan yang memberi impak langsung kepada masyarakat setempat, pemantapan modul kepimpinan pelajar berfokuskan kebertanggungjawaban sosial dan nilai integriti, cadangan pengintegrasian aktiviti hijau dan literasi alam sekitar dalam kokurikulum di semua UA dan penambahbaikan kaedah pemantauan, pelaporan dan penilaian impak kokurikulum secara nasional.
Dalam sesi perbincangan, ahli majlis turut berkongsi amalan terbaik, cabaran pelaksanaan serta cadangan inovatif yang boleh diadaptasi oleh semua UA. Penyertaan JPT melalui Dr. Azidah memberi perspektif menyeluruh berkaitan dasar kebangsaan dan memastikan keseragaman pelaksanaan selaras dengan hala tuju KPT.

Mesyuarat turut menegaskan bahawa kokurikulum memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara dalam membangunkan modal insan holistik yang mampu berdaya saing dalam persekitaran global. Dengan perkembangan teknologi serta tuntutan kemahiran abad ke-21, platform seperti UniCC menjadi medan utama untuk memastikan aktiviti kokurikulum terus relevan dan berimpak tinggi.
Penganjuran mesyuarat di UUM mengukuhkan lagi peranan universiti sebagai peneraju dalam pembangunan kokurikulum berstrategik. Ia juga mencerminkan komitmen UUM untuk melahirkan graduan yang seimbang, beretika dan mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat serta negara.
Mesyuarat ini dijangka menghasilkan beberapa cadangan dan hala tuju baharu yang akan dibentangkan dalam siri pertemuan berikutnya, demi memastikan kokurikulum universiti awam terus diperkasa dan memberi impak positif kepada pembangunan pelajar di seluruh Malaysia. – Nur Khairiel Anuar



