Ziarah Prihatin SBM ke Johor santuni pelajar kehilangan ibu bapa
Berita dan Gambar Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin
JOHOR, 7 Disember 2025: Ziarah Prihatin Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah diadakan di rumah pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Mod 2u2i) semester 7, Nur Hidayaturrahma Saputri Moh. Arsyad di Kampung Parit Makuaseng, Pontian, semalam.
Pelajar ini baru sahaja kehilangan ibunda tercinta pada Ahad minggu lalu, sementara ayahanda telah kembali ke rahmatullah pada semester ke-4 pengajian. Keadaan ini menjadikan Hidayaturrahma kini seorang yatim piatu yang tinggal bersama adik perempuannya, dan ziarah ini diadakan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral daripada pihak pusat pengajian.

Program ziarah ini diketuai oleh mentor akademiknya sendiri, Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin yang mewakili Dekan Pusat Pengajian, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad, pengerusi program serta seluruh warga SBM.
Dalam kunjungan tersebut, pihak SBM telah menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai sebagai tanda kebersamaan.
Hidayaturrahma berkata, dia serta adiknya semakin baik dalam menerima pemergian kedua insan tersayang, selain sokongan serta bantuan oleh saudara mara terdekat.
Perjalanan dari UUM ke Pontian yang mengambil masa lebih lapan jam tidak menghalang pihak SBM untuk menyantuni pelajar dalam saat sukar ini. Kehadiran wakil pusat pengajian disambut penuh rasa syukur oleh Hidayaturrahma, adiknya serta keluarga terdekat yang turut berada di rumah.

Mereka menzahirkan penghargaan atas perhatian, sokongan dan kepedulian yang ditunjukkan oleh pihak SBM, yang bukan sahaja meringankan beban tetapi juga memberi kekuatan moral kepada keluarga.
Di kesempatan itu juga, Dr. Ali sempat berbincang beberapa perkara bersama dengan pelajar termasuk aspek pengajian yang kini di tahun akhirnya terutamanya hal terkait sesi industrial attachment yang sedang dilaluinya di Syarikat Vamos Chicken, selain perancangan masa depan bagi dirinya serta adiknya dan juga bantuan sewajarnya yang boleh diperoleh dari beberapa agensi terlibat.
Selain itu, Dr. Ali yang juga mentor akademiknya sejak semester pertama turut menitipkan kata-kata semangat agar Hidayaturrahma dan adiknya terus tabah menghadapi ujian kehidupan, bersemangat menamatkan pengajian, dan menjadi insan berguna pada masa hadapan.

Keseluruhannya, Ziarah Prihatin ini mencerminkan nilai kasih sayang, kebersamaan dan sokongan berterusan warga SBM terhadap kebajikan pelajar. Ia bukan sahaja memberi bantuan material, tetapi lebih penting menyuntik semangat dan motivasi kepada Hidayaturrahma untuk terus melangkah maju dalam pengajian serta kehidupan.
“Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan sebagai budaya prihatin dan solidariti warga universiti dalam menyokong pelajar yang berdepan dengan cabaran hidup, di samping memastikan mereka berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang serta bersedia menjadi graduan yang berdaya saing di industri,” katanya.



