Menara telekomunikasi pertama di bina di UUM
Gambar oleh Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 8 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini mencatat sejarah apabila, dengan kerjasama Yiked Bina Sdn. Bhd. (YBSB) dan Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD), melancarkan Telekomunikasi Biochar Pertama di Malaysia dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Markas PALAPES, UUM Sintok.
Pengarah Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan EDOTCO Group, Yang Berbahagia Datin Azzahraa Annuar, dalam ucapannya berkata, pelancaran menara tersebut bukan sahaja memperkenalkan infrastruktur telekomunikasi baharu, malah membuktikan kejayaan usaha mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan biochar.

Menurut beliau, Menara Biochar yang diperkenalkan hari ini merupakan hasil inovasi signifikan, apabila penggantian 5% simen dengan biochar berjaya meningkatkan kekuatan mampatan struktur sebanyak 15%, di samping mengurangkan karbon terbenam sehingga 25% berbanding struktur konkrit konvensional. Penemuan ini penting kerana karbon terbenam kekal dalam struktur sepanjang hayat bangunan dan jauh lebih sukar dikurangkan berbanding karbon operasi.
“Inovasi ini adalah titik permulaan yang amat bermakna, bukan sahaja untuk YBSB, tetapi juga untuk Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan menara tersebut mencerminkan kerjasama erat tiga negeri iaitu Kelantan, Perak dan Kedah, melalui rantaian proses biomassa, pirolysis dan pembinaan yang dilaksanakan sepenuhnya di dalam negara. Pemasangan sulung ini menjadi bukti konsep bahawa Malaysia berupaya membangunkan teknologi karbon rendah secara mandiri.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, yang mewakili Naib Canselor UUM, berkata projek ini bukan sahaja memperkenalkan teknologi lestari baharu, malah menandakan perubahan paradigma dalam pembangunan infrastruktur digital negara.

“Inovasi ini menyokong usaha menghubungkan masyarakat, khususnya warga institusi pendidikan awam. Infrastruktur digital pada masa kini merupakan keperluan asas bagi pendidikan, ekonomi, keselamatan dan pembangunan komuniti,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan projek biochar ini juga seiring dengan komitmen UUM untuk memacu pembangunan kampus lestari, selain menjadi contoh penyelidikan berasaskan real case study yang memberikan impak langsung kepada pengguna.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Yiked Bina Sdn. Bhd., Yang Berbahagia Datuk Mohd Azam Saad; Pengarah Pembangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kedah, Azhar Abdul Rahman; Pengarah BSD, Dr. Afiruddin Tapa; Pengarah Perniagaan EDOTCO Malaysia, Gayan Koralage; Ketua Operasi Maxis Kedah, Sivanathan A/L Subramanian; serta pegawai kanan universiti dan wakil industri.



