Program Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari: Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG
Berita dan gambar Kaswizawati Md. Basir
ALOR SETAR, 24 Disember 2025: Program “Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari: Memperkasakan Kitar Tinggi Berasaskan ESG” telah dilaksanakan dengan jayanya di Raia Hotel & Convention Centre.

Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) selaku sekretariat program.
Program ini dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Nur Akmal Ahmad Mustaffa selaku Pengarah Projek Arambam, dan bertujuan memperkasa pelajar serta komuniti melalui pembangunan produk kitar tinggi yang bernilai tambah, inovatif dan berdaya saing.
Dr. Nur Akmal berkata, inisiatif ini selaras dengan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG).

Bengkel Modul 1 yang memfokuskan kepada Reka Bentuk Produk telah dirangka bagi memberi pendedahan awal kepada peserta tentang asas-asas reka bentuk produk yang praktikal, menarik dan menepati konsep hijau.
Selain itu, bengkel ini turut menyediakan platform pembelajaran secara praktikal yang membolehkan peserta menghasilkan idea konsep produk serta penjenamaan yang berpotensi untuk dikembangkan dalam fasa seterusnya melibatkan pembangunan produk dan perniagaan.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah dibimbing secara interaktif melalui sesi perbincangan kumpulan, perkongsian ilmu dan aktiviti hands-on yang mendorong pemikiran kreatif serta inovatif. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap reka bentuk produk lestari, malah menggalakkan penghasilan idea yang berdaya maju dan relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Bagi memastikan pengisian modul memenuhi objektif program serta selaras dengan keperluan keusahawanan lestari berasaskan ESG, tenaga pengajar Modul 1 telah dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing. Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Hasnizam Shaari, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh, Dr. Nur Nadia Adjrina Kamarruddin dan Dr. Tunku Nur Atikhah Tunku Abaidah.
Secara keseluruhan, pelaksanaan Bengkel Modul 1 ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam menyediakan asas kukuh kepada peserta untuk memahami kepentingan reka bentuk produk hijau dan inovasi lestari.
Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda dan komuniti yang peka terhadap kelestarian alam sekitar serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan negara.



