IBS UUM dan RHB Investment Bank Perkasa Sinergi Akademia-Industri
Berita dan gambar oleh Dr. Mohd. Badrul Hakimi bin Daud
SINTOK, 6 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama wakil pengurusan En Jasmani bin Mohd Salleh selaku Pengurus Cawangan RHB Investment Bank Cawangan Alor Setar.
Sesi perbincangan dua hala ini diadakan bagi memperkasakan jalinan hubungan strategik antara pihak universiti dan industri perbankan tempatan. Ia merupakan langkah proaktif IBS dalam memastikan kualiti pendidikan sentiasa seiring dengan keperluan semasa industri.

Delegasi perjumpaan bermakna ini telah dihadiri oleh Dekan IBS Prof. Dr. Selamah Maamor, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar IBS, Prof Madya Dr. Hydzulkifli bin Haji Hashim, Ketua Unit Dana Sosial Takaful, Dr. Mohamad Yazid bin Isa dan Timbalan Ketua Unit Dana Sosial Takaful, Dr. Mohd Badrul Hakimi bin Daud.
Kehadiran barisan pengurusan ini membuktikan komitmen jitu pusat pengajian terhadap perancangan kelangsungan masa depan para pelajar. Pertemuan tersebut turut mendapat reaksi positif pihak RHB Investment Bank yang sentiasa bersedia menyokong inisiatif akademik.

Agenda utama perbincangan memfokuskan kepada potensi kolaborasi berimpak tinggi secara khusus untuk tujuan pembangunan dan pemerkasaan kemahiran pelajar. Kedua-dua belah pihak meneliti ruang kerjasama praktikal seperti penganjuran program pendedahan industri, perkongsian kepakaran kewangan dan juga bengkel dagangan saham untuk para pelajar IBS.
Usaha strategik ini dijangka mampu merapatkan jurang antara teori akademik di dewan kuliah dengan amalan dunia kewangan sebenar.
Kesediaan pihak RHB Investment Bank Cawangan Alor Setar dalam membantu dan juga menyediakan khidmat kepakaran untuk melatih dan berkongsi pengalaman industri kepada pelajar-pelajar IBS adalah suatu peluang yang cukup berharga buat IBS dan juga universiti secara amnya, kata Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor.

Kerjasama erat bersama institusi perbankan pelaburan terkemuka negara ini pastinya akan memberi nilai tambah yang sangat signifikan kepada bakal graduan. Pendedahan langsung kepada persekitaran pelaburan berupaya melahirkan mahasiswa yang lebih holistik, kompeten, dan berdaya saing tinggi di dalam pasaran kerjaya.
Inisiatif seumpama ini selari dengan sasaran untuk menyokong ekosistem pembelajaran yang berprestasi tinggi di peringkat universiti.
Pihak pengurusan berharap agar perbincangan awal ini akan segera disusuli dengan pelaksanaan program berstruktur yang rasmi pada masa akan datang. Kesepakatan yang dibina ini diyakini bakal membuka lebih banyak ruang kebolehpasaran serta menajamkan kemahiran profesional para pelajar. Sesi pertemuan ini diakhiri dengan resolusi bersama untuk terus bekerjasama erat dalam melahirkan pelapis masa hadapan industri kewangan negara.



