General

KPT Lancar Tiga Dokumen Strategik Perkukuh Tadbir Urus dan Hala Tuju UUM

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 4 Jun 2026: Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohamad Nor Azman Hassan menegaskan keperluan perkhidmatan awam untuk kekal responsif dan bersedia menghadapi cabaran dunia semasa yang semakin kompleks dalam era VUCA.

Beliau yang mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam(KPPA) berkata ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik dan impaknya terhadap ekonomi dunia turut memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, sekali gus memerlukan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih fleksibel dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pelaksanaanAspirasi Malaysia MADANI sebagai panduan utama negara yang berteraskan pemacuan ekonomi, reformasi institusi serta tata kelola dan keadilan sosial.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang memperkukuhkan kecekapan sektor awam melalui peningkatan kompetensi, transformasi digital serta pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam(SSPA), selain penerapan nilai HEMAT sebagai kompas integriti penjawat awam.

Menurutnya, inovasi perlu dijadikan keutamaan dalam sektor awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kekal relevan, cekap dan berkesan dalam mendepani perubahan semasa.

Majlis turut menyaksikan pelancaran tiga dokumen strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh tadbir urus dan hala tuju institusi, yang disempurnakan melalui gimik pelancaran oleh Datuk TKSU dengan menandatangani paparan digital sebagai simbolik pelancaran rasmi ketiga-tiga dokumen tersebut.

Dokumen tersebut ialah Buku Panduan Perkhidmatan Stafdalam bentuk e-book sebagai rujukan pengurusan sumber manusia, Kod Etika Profesional yang menggariskan nilai kecemerlangan, integriti dan pembelajaran berterusan, serta Pelan Strategik UUM Fasa 4 yang menetapkan aspirasi universiti bagi tempoh lima tahun akan datang. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button