Pelajar asnaf bidang perakaunan UUM dibantu jadi akauntan bertauliah
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 3 Jun 2026: Impian pelajar asnaf dan golongan B40 di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk bergelar akauntan bertauliah kini berada di landasan tepat.
Laluan emas ini terbuka luas susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan TYMBA Education Group (TYMBA) hari ini, yang antara lain bertujuan meruntuhkan tembok kekangan kewangan yang sering menjadi penghalang utama pelajar kurang berkemampuan untuk mengambil lesen profesional.
Majlis yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin itu bakal menyaksikan integrasi strategik dalam menyediakan platform latihan dan peperiksaan badan profesional terkemuka dunia seperti ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), MICPA (Malaysian Institute of Certified Public Accountants), ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales) atau CIMA (Chartered Institute of Management Accountants).
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menegaskan, kolaborasi ini adalah bukti komitmen universiti dalam melonjakkan kebolehpasaran graduan, khususnya menerusi Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang sememangnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kami memahami kos peperiksaan profesional adalah tinggi dan ia sering menjadi igauan buat pelajar B40 dan asnaf. Oleh itu, universiti kini sedang meneliti mekanisme penajaan yang inklusif, termasuk menyalurkan dana zakat bagi membiayai lesen profesional mereka.
“Kita mahu memastikan kekangan wang tidak lagi menjadi alasan untuk mereka gagal bersaing dalam pasaran kerja yang kompetitif,” katanya.
Langkah ini juga dilihat sebagai sokongan padu UUM terhadap aspirasi negara yang meletakkan sasaran untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan kesinambungan kepada hubungan kerjasama yang telah terjalin antara TYMBA dan TISSA-UUM sejak hampir setahun lalu.
Menurutnya, TYMBA yang merupakan pusat pendidikan perakaunan profesional global komited membantu pelajar perakaunan dari peringkat awal pengajian di universiti sehingga melangkah ke alam pekerjaan, khususnya golongan asnaf dan Bumiputera B40.
Katanya, TYMBA bersedia menawarkan pelbagai bentuk tajaan dan sokongan kepada pelajar bagi memastikan mereka bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah mampu memperoleh kelayakan profesional dan seterusnya menjadi akauntan bertauliah yang memenuhi keperluan industri.

“Matlamat kami adalah untuk membantu dan membimbing pelajar perakaunan dari peringkat universiti sehingga mereka berjaya membina kerjaya dalam industri serta menjadi akauntan bertauliah dan profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali; Penasihat Undang-Undang Universiti, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Dekan TISSA, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali; serta pegawai kanan universiti.



