Campus

HIMPU iktiraf kecemerlangan warga UUM

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 4 Jun 2026: Kecemerlangan yang dicapai Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini adalah hasil komitmen, disiplin, kerja berpasukan dan integriti tinggi yang menjadi sebahagian daripada DNA universiti sejak sekian lama.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universit i(HIMPU) merupakan manifestasi penghargaan universiti terhadap usaha dan dedikasi warga kerja yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik demi kecemerlangan institusi.

Seramai 204 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 18 penerima Anugerah Penjawat Cemerlang, empat penerima Anugerah Taat Setia serta 64 penerima anugerah dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran, inovasi serta kualiti diraikan pada majlis tersebut.

Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital yang berkembang pesat, universiti perlu sentiasa bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa bagi memastikan UUM terus relevan serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Budaya inovasi perlu terus diperkasakan dan teknologi harus dimanfaatkan sepenuhnya dalam aspek pengajaran, penyelidikan serta sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada HIMPU 2025 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai Buku Panduan Perkhidmatan Staf, Kod Etika Profesional dan Pelan Strategik UUM 2026-2030 yang akan menjadi panduan kepada warga universiti dalam memperkukuhkan tadbir urus serta merealisasikan hala tuju pembangunan UUM bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan UUM bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada kekuatan ekosistem universiti yang saling melengkapi serta semangat kebersamaan seluruh warga kampus dalam menjayakan aspirasi universiti.

Katanya, setiap sumbangan warga kerja amat dihargai walaupun tidak semua berpeluang menerima anugerah pada setiap tahun kerana mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi dan kecemerlangan UUM di persada dunia. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button