Pemeteraian LOI McDonald’s Malaysia dan TVET UUM perkukuh agenda pembangunan bakat industri
Berita dan gambar oleh: Dr Wahida Yaakub
PETALING JAYA, 15 Mei 2026: McDonald’s Malaysia dan Universiti Utara Malaysia melalui Pengurusan TVET UUM terus memperkukuh hubungan strategik menerusi Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Big Mac, Ibu Pejabat McDonald’s Malaysia.
Delegasi Pengurusan TVET UUM diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama Timbalan Pengarah, En. Kamal Khalid serta Dr. Norwahida Yaakub.

Kehadiran delegasi telah disambut oleh barisan pengurusan kanan McDonald’s Malaysia yang diketuai oleh Azhar Darbi, Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia.
Turut hadir ialah Ahmad Shihafiddin, Pengarah Kolaborasi Strategik dan Pematuhan serta Afiqah, Pegawai Kanan Kolaborasi Strategik.
Majlis ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan industri dalam memperkasa agenda TVET melalui pembangunan bakat, latihan berasaskan industri serta peluasan peluang pembangunan kerjaya kepada tenaga kerja masa hadapan.

Pemeteraian Letter of Intent (LOI) ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkasakan agenda TVET negara melalui pendekatan kolaboratif yang lebih dinamik, praktikal dan berimpak tinggi.
Kerjasama ini juga dijangka membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk program latihan berstruktur, pembangunan kompetensi, peningkatan kemahiran serta laluan kerjaya yang lebih mampan kepada peserta program pada masa hadapan.
Melalui kolaborasi ini, Pengurusan TVET UUM dan McDonald’s Malaysia berharap hubungan strategik yang terjalin dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang lebih kompetitif, holistik dan memenuhi keperluan industri selaras dengan aspirasi negara dalam memperkukuh ekosistem TVET.



