Education

TISSA-UUM terima kunjungan audit penilaian pematuhan akreditasi penuh bagi program Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa)

Gambar oleh: Muhammad Muadz Madzlan

SINTOK, 11 Mei 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah menerima kunjungan panel penilai bagi menjayakan agenda Audit Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh bagi program Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Sesi audit penting ini bertujuan untuk menilai kualiti pengajian serta memastikan program yang ditawarkan sentiasa memenuhi standard akademik tertinggi.

Bagi sesi kali ini, Prof. Dr. Che Ruhana Isa @ Mohamed Isa dari Universiti Malaya (UM) telah dilantik sebagai panel penilai luar.

Sepanjang dua hari program berlangsung, proses penilaian telah dijalankan secara komprehensif merangkumi semakan dokumen akademik serta pematuhan pelaksanaan Pendidikan Berasaskan Hasil (Outcome-Based Education – OBE).

Bagi mendapatkan maklum balas yang menyeluruh, sesi temu bual khas turut diadakan bersama Pengerusi Program, barisan pensyarah, para pelajar, serta alumni program tersebut.

Selain itu, panel penilai turut dibawa melawat kemudahan infrastruktur sokongan pembelajaran di sekitar kampus termasuk bilik-bilik kuliah dan perpustakaan bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal kondusif.

Pihak pengurusan TISSA-UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada panel penilai, Prof. Dr. Che Ruhana Isa, atas komitmen serta perkongsian pandangan yang amat berharga sepanjang sesi audit berlangsung.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada semua jawatankuasa kerja, pensyarah, kakitangan pentadbiran, alumni, dan para pelajar yang telah memberikan kerjasama yang luar biasa dalam menjayakan seluruh proses penilaian ini.

Komitmen padu daripada semua pihak menjadi tonggak utama dalam mempertahankan kualiti akademik di peringkat global. – Prof. Madya Dr. Arifatul Husna Mohd Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button