Wacana Sejarah Gunaan kupas potensi kerjaya dan relevansi industri, lonjak kebolehpasaran graduan
Berita dan gambar Muhammad Najmudin Nadzri
SINTOK, 25 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dengan kerjasama Kelab Sejarah Gunaan UUM Sesi 2025/2026 telah menganjurkan program Wacana Sejarah Gunaan Siri 1/2026, baru-baru ini.
Program yang berlangsung secara dalam talian ini membawa tajuk utama “Sejarah Gunaan di Dunia Sebenar: Teori, Pengalaman dan Peluang Kerjaya”. Webinar ini menampilkan Pengasas Ancient Kedah Heritage Resources, Mazlan Mahmud yang juga merupakan Penilai Industri Luar bagi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian sebagai penceramah jemputan, manakala Pensyarah Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, SLCP, Mohamad Ismandi Wasli sebagai moderator.

Sesi perkongsian ilmu ini telah menarik kehadiran lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada pelajar jurusan Sejarah Gunaan, para pensyarah, serta peminat sejarah tanah air.
Program Sarjana Muda Pertama di Malaysia
Universiti Utara Malaysia memegang status unik sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah. Program ini mula menerima dua kumpulan kemasukan bermula semester Oktober sesi 2021/2022 dengan jumlah pelajar seramai 28 orang.
Keunikan ini menjadikan graduan UUM aset penting yang mempunyai niche tersendiri dalam pasaran kerja yang semakin mencabar. Pengenalam program ini berperanan dalam mengangkat martabat disiplin sejarah sesuai pada era kini
Melalui kursus ini, ia bukan sahaja dapat melahirkan sejarawan sebaliknya melatih para profesional, pengurus muzium dan arkib, pegawai Jabatan Warisan, perunding arkeologi, penulis, penerbit, penganalisis sejarah, pustakawan dan kurator.
Program sejarah gunaan di UUM mengandungi kandungan kursus yang bersifat kontemporari dan bersesuaian dengan keperluan negara. Penerapan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan turut menjadi nilai tambah dalam kursus ini.
Tepis Stigma ‘Subjek Bosan’, Graduan Sejarah Diseru Jadi ‘Histo-preneur’
Persepsi lapuk bahawa bidang sejarah adalah subjek yang membosankan dan mempunyai prospek kerjaya yang terhad berbanding bidang kritikal lain seperti sains, perubatan, dan undang-undang perlu segera diubah.
Dalam perkongsiannya dalam Wacana Sejarah Gunaan Siri 1/2026, Mazlan mengakui cabaran besar dalam menarik minat generasi muda terhadap bidang ini. Namun, beliau menegaskan bahawa realiti dunia moden menuntut graduan sejarah untuk menjadi lebih daripada sekadar ahli akademik semata-mata.
Mazlan berkata, graduan Sejarah Gunaan tidak seharusnya melihat diri mereka sebagai pencari kerja, sebaliknya perlu berani menjadi pencipta pekerjaan atau digelar sebagai ‘Histo-preneur’.
“Graduan perlu bijak membangunkan ikon dan naratif sejarah yang disesuaikan dengan permintaan pasaran semasa. Melalui kecemerlangan akademik, hasil penyelidikan boleh ditransformasikan menjadi produk pelancongan yang bernilai tinggi, penceritaan digital (digital storytelling), serta penerbitan filem dan karya kreatif.

“Kuncinya adalah inovasi dan jiwa keusahawanan. Graduan mesti mampu menjuarai produk sejarah yang mereka bangunkan sendiri,” katanya yang turut berkongsi pengalaman dalam mempromosikan industri arkeopelancongan negara.
Rapatkan Jurang Akademik dan Komuniti
Mengulas mengenai cabaran industri, Mazlan mendedahkan bahawa pada peringkat awal, penemuan arkeologi penting di Lenggong dan Lembah Bujang gagal menjana manfaat ekonomi yang ketara kepada komuniti setempat.
Beliau menyifatkan kegagalan ini berpunca daripada jurang pemisah yang luas antara ahli akademik dan masyarakat awam.
“Wacana akademik sering terperangkap dalam lingkungan ilmiah yang eksklusif, menyebabkan masyarakat luar tidak merasai impak penemuan tersebut,” katanya.
Bagi mengatasi masalah ini, beliau mengambil inisiatif bekerjasama rapat dengan mentor beliau, Dr. Mokhtar Saidin, mantan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kejayaan Arkeopelancongan Negara
Bidang Sejarah Gunaan kini bukan lagi sekadar disiplin akademik yang tersimpan di perpustakaan, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan sebagai produk industri bernilai tinggi, sekali gus melonjakkan kebolehpasaran graduan dalam sektor kreatif dan pelancongan.
Dalam pembentangannya, Mazlan menekankan kepentingan transisi data kajian daripada “rak akademik” kepada kehendak “pasaran industri”.
Menurutnya, bidang sejarah berpotensi dijadikan produk tarikan pelancongan melalui pendekatan Community Based History, Sejarah Bumi, Sejarah Tokoh, serta pameran artifak.
Beliau turut menggariskan empat tonggak utama dalam membangunkan Arkeopelancongan (Archaeotourism) yang berjaya, iaitu pengetahuan disiplin arkeologi setempat, pembinaan naratif tapak yang menarik, kesahihan bahan sejarah yang teliti, serta penggunaan pendekatan global bertaraf UNESCO.
Hasil sinergi antara disiplin sejarah dan industri pelancongan tersebut telah membuahkan hasil apabila inisiatif arkeopelancongan dan geopelancongan berjaya dibangunkan di lokasi strategik negara.
Antara contoh kejayaan yang disebut adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO Lenggong, tapak Neolitik Guar Kepah, dan tapak tamadun awal Sungai Batu di Lembah Bujang.
“Walaupun usaha memperhalusi inisiatif ini masih berjalan, kita boleh berbangga kerana produk arkeopelancongan kini telah diiktiraf secara rasmi oleh Tourism Malaysia.
“Ia kini berdiri sebaris dengan tawaran pelancongan utama lain seperti ekopelancongan, pelancongan perubatan, dan pelancongan pendidikan,” katanya ketika mengakhiri sesi perkongsian tersebut.
Program wacana ini dilihat berjaya membuka mata pelajar mengenai peluang kerjaya luas dalam bidang sejarah gunaan, membuktikan bahawa graduan sejarah mampu menjadi pemain utama dalam memacu ekonomi pelancongan negara.
Sejarah itu Hidup!!
Kejayaan program ini turut diakui oleh pimpinan pelajar, Presiden Kelab Sejarah Gunaan UUM Sesi 2025/2026, Muhammad Najmudin Nadzri, menyifatkan wacana ini sebagai platform terbaik untuk ahli kelab memahami visi sebenar program pengajian mereka.

Menurutnya, kolaborasi dengan pakar industri seperti Mazlan memberikan keyakinan bahawa graduan Sejarah Gunaan UUM mempunyai tempat yang luas di luar sana, asalkan kreatif mengadaptasi ilmu.
Katanya, Wacana Sejarah Gunaan Siri 1/2026 ini dilihat sebagai satu inisiatif strategik yang sangat tepat pada masanya di mana ketika kebanyakan persepsi masyarakat masih menganggap bidang sejarah sebagai bidang yang ‘kaku’ dan kurang peluang pekerjaan, program ini berjaya memecahkan tembok pemikiran tersebut.
“Kekuatan utama program ini terletak pada pemilihan penceramah. Membawa masuk tokoh industri seperti Mazlan Mahmud yang bukan sekadar ahli akademik tetapi pengamal industri (practitioner), memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang realiti dunia pekerjaan.
“Beliau berjaya menterjemahkan konsep “Sejarah Gunaan” (Applied History) daripada sekadar subjek di dewan kuliah kepada aplikasi sebenar yang menjana pendapatan dan memelihara identiti negara,” katanya.
Interaksi dua hala antara penceramah dan peserta turut membuktikan bahawa pelajar hari ini dahagakan pencerahan mengenai halatuju kerjaya mereka. Topik yang dibincangkan tidak hanya berkisar tentang fakta sejarah lampau, tetapi bagaimana fakta tersebut diolah menjadi produk pelancongan, penulisan kreatif, dan input dasar awam.
Penganjuran siri wacana sebegini adalah langkah proaktif yang wajar dipuji. Ia membuktikan bahawa Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia di UUM tidak duduk diam dalam zon selesa akademik, sebaliknya sentiasa mencari jalan untuk menghubungkan bilik kuliah dengan industri.
Program ini juga menyerlahkan potensi besar UUM sebagai hab pendidikan sejarah gunaan di rantau ini. Jika momentum ini diteruskan, tidak mustahil graduan Sejarah Gunaan UUM akan menjadi pelopor utama dalam industri kreatif dan warisan negara kelak.
Program seperti ini diharap dapat memperkukuhkan jati diri dan kefahaman pelajar terhadap nilai komersial bidang sejarah, sekaligus melahirkan graduan holistik yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan global.



