KV Kuala Klawang teroka peluang menara gading di UUM
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad
SINTOK, 26 Januari 2026: Seramai 34 pelajar dan enam pensyarah pengiring dari Kolej Vokasional Kuala Klawang, Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Pensyarah SoE, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad bersama Asman Mansor.

Dr. Norazlinda berkata, lawatan yang melibatkan pelajar program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Pengurusan Perniagaan ini bertujuan untuk menyuntik semangat pelajar agar menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UUM.
Selain itu, menurutnya, mereka turut didedahkan kepada peluang inovasi, aktiviti keusahawanan serta kelebihan kampus hijau ini.
Kehadiran rombongan ini lebih bermakna apabila dua daripada pensyarah pengiring merupakan alumni Pusat Pengajian Pendidikan UUM, sekali gus membuktikan kualiti graduan universiti ini dalam pasaran kerja.

Sesi taklimat telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Noor Abdul Aziz selaku Pengerusi Program dengan dibantu oleh Penolong Pendaftar SoE, Hasliza Shafie.
Selain SoE, pelajar turut dibawa melawat ke beberapa lokasi strategik bagi merasai sendiri suasana pembelajaran di UUM seperti ke Welcome Centre, Pusat Pengajian Perniagaan (SBM) dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Rata-rata pelajar menunjukkan keterujaan yang tinggi menerusi pelbagai soalan yang diajukan dan menyatakan minat yang mendalam untuk menjadikan UUM sebagai destinasi pengajian tinggi mereka kelak.



