Audit Dalaman Kualiti perkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di SQS
Gambar oleh: Zamalik Hassan
SINTOK, 29 Julai 2026: Lawatan Audit Kualiti Dalaman MS ISO 9001:2015 telah diadakan di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) melihat pelaksanaan Pengurusan Kualiti di SQS selaras dengan objektif Kualiti dan dasar Kualiti UUM.
Audit dimulakan dengan sesi pembukaan yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SQS, Dr. Teh Yuan Ying, yang memberikan penerangan mengenai latar belakang serta program-program akademik yang ditawarkan di SQS.

Seterusnya, Ketua Juruaudit menerangkan pelan audit dan skop pelaksanaan audit yang akan dijalankan sepanjang hari tersebut.
Seramai tiga orang Juruaudit Kualiti Dalaman menjalankan audit di SQS, iaitu Prof. Dr. Norhani Aripin selaku Ketua Juruaudit, dibantu oleh ahli, Prof. Madya Dr. Soo Hooi Sin dan Dr. Nur Yuhanis Ab Wahab.
Sepanjang audit berlangsung, para juruaudit telah meneliti dokumen dan rekod berkaitan, di samping membuat pemerhatian terhadap proses serta aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) yang dilaksanakan di SQS.
Pada sesi sebelah pagi, juruaudit telah mengadakan temu bual bersama pensyarah yang terlibat dalam proses pengurusan penilaian peperiksaan akhir bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan terhadap pelaksanaan prosedur yang berkaitan.

Manakala pada sebelah petang, juruaudit telah menemubual pelajar pascasiswazah bagi mendapatkan maklumat berkaitan proses pengurusan dan pelaksanaan sesi mempertahankan Cadangan Penyelidikan (Proposal Defence).
Sepanjang audit berlangsung, Dr. Teh Yuan Ying selaku Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa turut dibantu oleh semua Pengerusi Program Prasiswazah, Pengerusi Program Pascasiswazah, Penolong Pendaftar serta pensyarah.
Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak telah membantu melancarkan proses audit dan membolehkan juruaudit memperoleh maklumat yang diperlukan bagi tujuan penilaian pematuhan terhadap keperluan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015.

Dekan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para juruaudit atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan Audit Dalaman Kualiti MS ISO 9001:2015 di SQS.
Ucapan tersebut disampaikan semasa sesi penutupan audit pada sebelah petang, di samping menghargai pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di SQS. – Haslida Ismail



