Education

SOC UUM kongsi kepakaran AI serta bincang kolaborasi bersama UNP

Berita dan gambar disediakan oleh: Gs. Dr Nur Suhaili Mansor

PADANG, INDONESIA, 28 Julai 2026 – Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perkongsian kepakaran berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta perbincangan kolaborasi akademik bersama Fakultas Teknik, Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Delegasi SOC UUM diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli selaku Ketua Delegasi, bersama beberapa orang pensyarah SOC UUM yang lain.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Fakultas Teknik UNP yang diterajui oleh Dr. Muhammad Anwar, S.Pd., M.T., selaku Dekan Fakultas Teknik UNP.

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian bertajuk “AI Tools for Publication and Research” yang dikendalikan oleh pensyarah SOC UUM kepada pensyarah dan pelajar UNP. Sesi tersebut memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi AI dalam menyokong proses penyelidikan, penulisan akademik dan penerbitan ilmiah.

Perkongsian tersebut turut menekankan kepentingan penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam menjaga integriti akademik, ketepatan maklumat, kerahsiaan data serta keaslian hasil penulisan.

Selain perkongsian berkaitan AI, pensyarah SOC UUM turut mengendalikan aktiviti reka bentuk pengalaman pengguna dan antara muka pengguna atau UX/UI.

Aktiviti tersebut memberi penekanan kepada pendekatan berpusatkan pengguna dalam mengenal pasti masalah, memahami keperluan pengguna, menjana idea penyelesaian dan menghasilkan cadangan reka bentuk awal.

Dalam pertemuan yang sama, wakil SOC UUM dan Fakultas Teknik UNP turut membincangkan potensi kolaborasi yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, perkongsian kepakaran, penganjuran bengkel dan seminar serta program mobiliti pensyarah dan pelajar.

Perbincangan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bidang kepakaran yang boleh dipadankan serta merancang aktiviti akademik yang dapat memberikan manfaat kepada komuniti universiti masing-masing.

Kerjasama yang dirintis melalui program ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek penyelidikan, penerbitan bersama, program mobiliti dan aktiviti perkongsian kepakaran yang lebih tersusun pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button