General

UUM perkenal Program Sarjana Dasar Awam perkasa kompetensi pembuat dasar

Gambar Jurufoto Unit Foto dan Video, JKK

SINTOK, 3 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) akan memperkenalkan Program Sarjana Dasar Awam yang dirangka bagi memperkukuhkan kompetensi pembuat dasar dan pelaksana dasar melalui pendekatan berasaskan bukti, data serta penyelesaian strategik.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, program ini akan melahirkan pemimpin sektor awam yang berintegriti, berpengetahuan dan berkeupayaan mendepani cabaran tadbir urus serta persekitaran pentadbiran yang semakin kompleks dan dinamik.

Menurutnya, program ini direka bentuk secara khusus untuk memperkukuhkan kompetensi penjawat awam, khususnya dalam kalangan pembuat dasar dan pelaksana dasar agar mereka berupaya merangka, melaksanakan dan menilai dasar awam secara lebih strategik, inklusif, holistik serta berasaskan bukti dan data (data-driven).

SoG sebelum ini menerusi Program Sarjana Pengurusan Awam (MPM) yang ditawarkan sejak lebih dua dekad lalu telah melahirkan lebih 1,000 alumni yang kini berkhidmat di pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

“Kita mahu SOG diperkasakan menjadi pusat rujukan utama negara dalam bidang dasar awam dan transformasi perkhidmatan awam,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Konvensyen ILTIZAM 2026 di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Dalam pada itu, UUM terus mengukuhkan peranannya sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkasakan reformasi sektor awam apabila tampil mengetengahkan kepakaran penyelidikan, pembangunan dasar dan modal insan sempena Konvensyen ILTIZAM 2026 yang menghimpunkan lebih 1,200 peserta dari seluruh negara.

Dr. Ahmad Martadha berkata, kepercayaan yang diberikan kepada UUM sebagai rakan strategik penganjuran konvensyen itu membuktikan pengiktirafan terhadap kekuatan universiti dalam bidang pengurusan, pentadbiran awam dan pembangunan dasar.

Menurutnya, tema konvensyen yang memfokuskan kepada kecekapan, kecerdasan, akauntabiliti dan transformasi perkhidmatan awam amat bertepatan dengan aspirasi negara untuk membina sektor awam yang lebih tangkas, berintegriti dan responsif terhadap keperluan rakyat.

“Perkhidmatan awam hari ini memerlukan lonjakan reformasi yang bukan sahaja berasaskan kepantasan bertindak, malah diperkukuhkan dengan tadbir urus yang mantap serta akauntabiliti yang tinggi.

“Sebagai universiti pengurusan terkemuka negara, UUM sentiasa bersedia menjadi tulang belakang kepada agenda pemerkasaan perkhidmatan awam melalui penyelidikan, pendidikan dan pembangunan kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata, UUM memiliki kepakaran yang luas dalam bidang perakaunan, perbankan Islam, pengurusan awam, kewangan, perundangan, pengangkutan dan logistik yang sentiasa diperkasakan bagi melahirkan graduan serta program akademik yang memenuhi keperluan semasa negara.

Menurutnya, penyelidik UUM turut menyumbang secara langsung kepada agenda transformasi kerajaan menerusi pelbagai kajian berimpak tinggi, termasuk pembangunan Indeks HEMA bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerangka analitik data bagi Continuous Audit bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia, pembangunan kerangka pelaburan kemampanan holistik sektor awam, audit beban tugas pihak berkuasa tempatan serta penilaian kompetensi dan kepimpinan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, hasil penyelidikan tersebut bukan sahaja memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah menjadi rujukan penting dalam aspek tadbir urus, pengurusan risiko, inovasi sektor awam dan pembaharuan dasar di pelbagai kementerian serta agensi.

“Dari sudut penerbitan ilmiah pula, penyelidik UUM terus menyumbang kepada pembangunan ilmu melalui pelbagai buku dan artikel berkaitan transformasi sumber manusia sektor awam, pemantapan urus tadbir, amalan tadbir urus, Smart City serta penglibatan masyarakat dalam pentadbiran tempatan,” katanya.

Dr. Ahmad Martadha turut menegaskan komitmen UUM dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan sektor awam menerusi penawaran program pascasiswazah yang fleksibel di Kampus Sintok dan UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), sekali gus membolehkan penjawat awam meningkatkan kelayakan akademik tanpa menjejaskan tanggungjawab profesional mereka.

Menurutnya, kerjasama erat antara universiti dan sektor awam akan terus diperkasakan bagi memastikan penyelidikan, inovasi serta kepakaran akademik diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak langsung kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berharap agar platform Konvensyen ILTIZAM 2026 pada hari ini akan menjadi medan percambahan ilmu, perkongsian amalan terbaik, serta pencetus kepada anjakan paradigma yang lebih jitu buat perkhidmatan awam negara.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Naib-Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam dan Swasta Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, UUM dan agensi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button