KSN tegaskan reformasi perkhidmatan awam bukan lagi pilihan, sebaliknya kemestian demi rakyat
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 3 Ogos 2026: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa reformasi perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu kemestian bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan kekal cekap, berintegriti dan mampu memenuhi harapan rakyat serta meningkatkan daya saing negara.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen ILTIZAM 2026: Memacu Kecekapan, Akauntabiliti dan Reformasi Perkhidmatan Awam di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Menurutnya, setiap penjawat awam perlu menghayati konsep akauntabiliti mutlak (mas’ul) dengan menyedari bahawa setiap keputusan, kelewatan, salah guna kuasa dan tindakan yang diambil akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan, sekali gus menjadikan kepimpinan berintegriti sebagai asas kepada pembentukan sebuah perkhidmatan awam yang dipercayai rakyat.
“Reformasi serta penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam bukanlah satu pilihan, malah ia adalah suatu kemestian yang perlu kita junjung.
“Setiap peraturan, syarat dan prosedur hendaklah sentiasa diuji dengan satu persoalan yang mudah: adakah ia benar-benar memudahkan rakyat atau hanya menambah beban?” katanya.

Shamsul Azri berkata, pelaksanaan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 menjadi instrumen perundangan penting bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Katanya, sehingga kini sebanyak 439 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjaya disiapkan sejak 2024 dengan anggaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian reformasi tersebut menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 (World Competitiveness Ranking, WCR) 2026, apabila negara melonjak lapan anak tangga ke tangga ke-15 dunia daripada 70 ekonomi global, manakala indikator kecekapan kerajaan meningkat ke kedudukan ke-14 dan indikator birokrasi berada di tangga keenam dunia.
Menurutnya, indikator Beban Peraturan yang merupakan indikator baharu yang diperkenalkan dalam laporan WCR 2026 ini terus meletakkan Malaysia di kedudukan yang kukuh, iaitu tempat ke-11 dunia.
Katanya, kejayaan itu membuktikan usaha memperkukuhkan tadbir urus mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkasakan daya saing negara di peringkat global.

Mengulas mengenai agenda pendigitalan negara, beliau berkata, pelancaran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara AI membuka lembaran baharu kepada sektor awam untuk muncul sebagai peneraju transformasi digital yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, bertanggungjawab dan berimpak tinggi.
“Perkhidmatan awam tidak lagi boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu memiliki literasi digital, menguasai kemahiran masa hadapan serta memanfaatkan data bagi menghasilkan dasar yang lebih tepat, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ukuran sebenar kejayaan sesebuah dasar kerajaan bukan terletak pada laporan atau statistik semata-mata, tetapi sejauh mana dasar tersebut berjaya mengurangkan beban hidup rakyat dan meningkatkan daya saing perniagaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh penjawat awam agar berani merombak prosedur yang tidak lagi relevan, memperkukuhkan budaya inovasi serta mengutamakan hasil berbanding proses demi memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Mengakhiri ucaptamanya, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa kejayaan reformasi sektor awam memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak bagi membina sebuah sistem penyampaian yang lebih efisien, responsif, berintegriti dan diyakini rakyat, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di persada dunia.
Beliau turut melancarkan logo ILTIZAM dan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), menyerahkan Sijil Pemberitahuan Hak Cipta Logo ILTIZAM dan I-PPA, pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara INTAN dan UUM yang merupakan rakan strategik konvenyen ini serta Kampus Lestari UUM.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Naib-Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam dan Swasta Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, UUM dan agensi.


