Education

Misi Navigasi Galaksi lonjak minat pelajar teroka sains angkasa menerusi inisiatif STI 100³

Berita dan gambar Dr. Nur Azulia Kamarudin

KODIANG, 26 Januari 2026: Pasukan perunding dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menggerakkan Program STEM Ceria@SKDSN pada 21 Januari lalu sebagai satu inisiatif di bawah program STI 100³ Kitaran 2.

Program ini merupakan usaha kolaboratif strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama SQS UUM dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar (SKDSN) yang diadakan pada 9 Disember tahun lalu.

Barisan penggerak utama yang menerajui program ini terdiri daripada Dr. Nur Azulia Kamarudin, Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Rosmaini Kashim.

Ketua Pasukan, Dr. Nur Azulia berkata, aktiviti yang disusun ini bertujuan untuk membuktikan bahawa sains adalah sesuatu yang dekat dengan pelajar dan boleh diplomatik melalui simulasi yang santai.

Menurutnya, kehadiran pakar-pakar akademik ini membawa kepakaran sains kuantitatif terus kepada murid di SKDSN melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang interaktif.

Program dimulakan dengan aktiviti memanaskan badan bagi memastikan semua peserta berada dalam keadaan cergas dan bersemangat sebelum memulakan misi utama. Seterusnya, murid dicabar melalui aktiviti “Misi Navigasi Galaksi” yang memerlukan mereka merancang koordinat perjalanan kapal angkasa di atas hamparan grid bagi mengelakkan halangan asteroid.

Suasana kian meriah apabila pasukan perunding mengendalikan aktiviti “Graviti Ping Pong” yang menguji ketepatan murid memindahkan bola pingpong ke dalam cawan. Aktiviti fizikal ini bukan sahaja menyeronokkan, malah berjaya menerapkan kefahaman tentang prinsip fizik seperti momentum dan keseimbangan serta kepentingan kerjasama berpasukan dalam menyelesaikan tugasan.

Guru Besar SKDSN, Sharinnizam Dun menzahirkan penghargaan kepada pasukan penggerak dari SQS UUM dan menyifatkan inisiatif ini sebagai platform terbaik dalam mendedahkan murid kepada aplikasi STEM yang praktikal di luar bilik darjah.

Maklum balas positif turut diberikan oleh peserta yang mengakui cabaran tersebut sangat menarik serta memberi mereka peluang untuk mencuba sendiri cara menyelesaikan tugasan sains ringkas dalam suasana simulasi yang santai.

Program ini berakhir dengan jayanya dalam menyemai minat mendalam terhadap bidang sains dan teknologi serta mengukuhkan daya pemikiran kritis dalam kalangan murid melalui sinergi erat antara pakar universiti dan komuniti sekolah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button