Education

Rantai Agro STEM didik kesedaran makanan

Gambar Ahmad Firdaus Ujut dan Mohamad Amirul Aniq Mohd Hadapi

JITRA, 27 Januari 2026: Program SMART AGRO STEM di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2 berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat melalui aktiviti permulaan Rantai Agro STEM iaitu aktiviti berasaskan permainan yang memperkenalkan kitaran bagaimana makanan disalurkan daripada pengeluar kepada pengguna melibatkan seramai 52 pelajar Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Malau, Jitra pada 16 Disember tahun lalu.

Program ini memberi tumpuan kepada pendedahan awal konsep agro dan keterjaminan makanan secara interaktif dan kontekstual, sekali gus memupuk minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Program SMART AGRO STEM ini merupakan usaha kolaboratif antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kumpulan Penyelidikan Computational Statistics and Applied Mathematics (CSAM) dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Sekolah Kebangsaan Malau yang komited memperkukuhkan pembelajaran STEM secara praktikal dan berasaskan situasi dunia sebenar.

Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh kumpulan saintis UUM yang diketuai oleh Rohaiza Zakaria bersama barisan saintis akademik: Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman, Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim dan Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim yang berpengalaman dalam pendidikan STEM dan pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah. Kejayaan pelaksanaan program ini juga turut dibantu oleh fasilitator, Prof. Madya Dr. Sharmila  Karim, Ahmad Firdaus Ujut dan Mohamad Amirul Aniq Mohd Hadapi.

Rohaiza berkata, melalui aktiviti Rantai Agro STEM, murid didedahkan kepada konsep asas sistem makanan negara, termasuk peranan petani, pengeluar, pengedar dan pengguna, serta bagaimana keputusan dalam setiap peringkat memberi kesan kepada kelestarian makanan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan permainan ini membantu murid memahami konsep kompleks secara visual, kolaboratif dan reflektif.

“Aktiviti yang dijalankan turut mengintegrasikan elemen STEM secara menyeluruh, meliputi pemikiran saintifik dalam memahami sistem agro, penggunaan teknologi dan simulasi, elemen kejuruteraan dalam perancangan aliran proses, serta kemahiran matematik asas melalui analisis urutan dan perkaitan.

“Murid digalakkan berfikir secara kritis, membuat keputusan secara berkumpulan dan menghubungkaitkan pembelajaran dengan kehidupan seharian,” katanya.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Malau, Azra Hiryani Abdul Salam turut berbesar hati menerima kehadiran saintis UUM dan menyatakan penghargaan atas penganjuran aktiviti yang memberi pendedahan bermakna kepada murid.

Menurutnya, pelaksanaan program seumpama ini bukan sahaja menyemai minat terhadap STEM, malah membantu murid membina kefahaman awal tentang isu keselamatan makanan dan peranan sains dalam kehidupan, sejajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Secara keseluruhan, Program SMART AGRO STEM berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk pemikiran saintifik, kerjasama dan kesedaran agro dalam kalangan murid melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, inklusif dan berimpak tinggi. – Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman dan Rohaiza Zakaria

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button