Program ‘Sifir Champion: Math Train’ Di SK Abi: Usaha MOSTI, UUM perkasa budaya STI Nasional
Gambar Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim
KANGAR, 15 Februari 2026: Usaha memperkasakan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terus dipergiatkan di peringkat akar umbi melalui pelaksanaan program ‘Sifir Champion: Math Train’ yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Abi, baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif di bawah naungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam misi melahirkan generasi muda yang kompetitif dan celik teknologi.

Pengisian di SK Abi ini merupakan program terakhir bagi kalendar Program MOSTI STI 1003 – Bijak Nombor, Bijak Minda untuk tahun 2025, sekali gus menandakan kejayaan penutup tirai yang penuh impak.
Program ini dijayakan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman bersama barisan ahli akademik berpengalaman iaitu Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim, Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi dan Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad serta Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi.
Dr. Rosshairy berkata, melalui konsep ‘Sifir Champion: Math Train’, murid-murid Tahun 6 diuji dengan permainan congak yang melibatkan empat operasi asas matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi.
Menurutnya, pendekatan ini selari dengan hasrat MOSTI untuk menjadikan subjek teknikal lebih mesra murid dan interaktif.

Sementara itu, Guru Besar SK Abi, Nordin Abdullah menzahirkan rasa bangga atas pemilihan sekolah tersebut dalam program STI 1003 bagi tahun 2025.
“Kehadiran pensyarah-pensyarah UUM di bawah inisiatif MOSTI ini adalah satu penghormatan besar bagi kami.
“Saya berharap murid-murid dapat mengambil impak positif dan menyedari bahawa penguasaan matematik adalah kunci utama untuk menguasai bidang sains dan teknologi di masa hadapan,” katanya.
Sebagai program terakhir STI 1003 bagi tahun 2025, aktiviti ‘Sifir Champion: Math Train’ ini bukan sahaja menguji kognitif murid, malah membina jambatan hubungan antara institusi pengajian tinggi, kementerian dan sekolah rendah.
Semangat yang ditunjukkan oleh murid-murid SK Abi membuktikan bahawa bidang STI mempunyai tempat yang istimewa di hati generasi masa hadapan Malaysia. – Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman



