UUM dinobat Pendebat Terbaik Pertandingan Debat Terbuka Kenyalang
Berita dan gambar Kori Ariff
KUCHING. 20 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan keseluruhan serta merangkul anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dalam Pertandingan Debat Terbuka Kenyalang 2026 edisi ke-5.
Pertandingan yang berlangsung dari 17 hingga 19 April 2026 di Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak Kampus 2 Samarahan ini menghimpunkan hampir 26 pasukan dari universiti seluruh Malaysia dengan menampilkan perbincangan yang inklusif dan konstruktif berteraskan aspirasi serta keunikan negeri Sarawak.

Program ini dianjurkan oleh UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Malaysian Technical Cooperation Programme Sarawak, Sarawak Economic Development Corporation, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia serta Malaysia Airlines.
UUM telah menghantar dua pasukan pendebat Bahasa Melayu iaitu Pasukan UUM A dan Pasukan UUM B.
Pasukan UUM A yang dianggotai oleh Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri dan Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal yang kedua-duanya merupakan pelajar Tahun Kedua Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian berjaya mara sehingga ke peringkat akhir.
Sementara itu, Pasukan UUM B diwakili oleh Mirza Hidayat Hamdan pelajar Tahun Ketiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Muhammad Zuhair Faris daripada Program Asasi Pengurusan UUM turut mempamerkan prestasi yang membanggakan sepanjang pertandingan.

Dalam pusingan akhir yang membahaskan usul berkaitan tuntutan autonomi penuh sektor pelancongan pasukan, UUM A berjaya menamatkan pertandingan sebagai Naib Johan sekali gus membawa pulang piala serta wang tunai berjumlah RM1,500.
Lebih membanggakan Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, sekali gus mengiktiraf keupayaan beliau dalam menyampaikan hujah yang tajam berfakta dan berwibawa.
Mirza Hidayat Hamdan menyifatkan penyertaan dalam pertandingan ini sebagai satu pengalaman yang amat berharga dalam membentuk ketajaman pemikiran serta daya tahan sebagai seorang pendebat.
Menurutnya, platform seperti ini bukan sahaja menguji keupayaan berhujah secara kritis dan berstruktur malah membuka ruang untuk memahami pelbagai perspektif berkaitan isu-isu semasa, di samping berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk melibatkan diri dalam dunia perdebatan sekali gus memperkukuh budaya intelektual dalam kalangan generasi muda.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah.



