Campus

Perasmian SQS Quantifest 2026 sorot masa depan Sains Kuantitatif dalam era automasi

Gambar Zamalik Hassan

SINTOK, 20 April 2026: Program SQS Quantifest 2026 merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) bagi membuka peluang kerjasama antara SQS dengan alumni dan wakil industri.

Program yang berlangsung dari 19 hingga 21 April ini telah dirasmikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CWORKS, Dr. Abdul Rani Achmed Abdullah dan diringi Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi.

Dr. Nerda Zura berkata, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar SQS tentang dunia kerjaya melalui siri perkongsian ilmu yang akan disampaikan oleh alumni dan wakil industri.

Sementara itu, Dr. Abdul Rani menyampaikan sesi perkongsian ilmu bertajuk “The Future of Quantitative Sciences in a Machine-Led World” yang mengajak peserta meneliti persoalan penting mengenai bagaimana dunia akan berubah apabila mesin mula “memimpin” keputusan serta peranan manusia dalam memastikan keputusan yang dihasilkan kekal relevan dan beretika.

Beliau turut menekankan kepentingan data yang tepat dan boleh dipercayai sebagai asas dalam membuat keputusan. Selain dari machine learning, konsep machine teaching turut diperkenalkan di mana manusia memainkan peranan penting dalam membimbing cara mesin berfikir melalui sistem maklum balas berterusan untuk memastikan teknologi digunakan secara terkawal. Walaupun teknologi semakin canggih, kecerdasan dan nilai manusia tetap menjadi elemen utama dalam memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan beretika.

Sesi ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada perkembangan semasa dalam bidang sains kuantitatif, malah membuka minda para peserta tentang kepentingan keseimbangan antara teknologi dan peranan manusia dalam dunia yang semakin dipacu oleh data dan automasi. – Prof. Madya Dr. Sharmila Karim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button