Pengukuhan Pengurusan TVET dalam kerjasama tenaga kerja mahir Jerman–Malaysia
Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub
KUALA LUMPUR, 19 April 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi GFW International dalam usaha meneroka potensi kerjasama strategik berkaitan pembangunan tenaga kerja mahir di peringkat global.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Dekan UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman serta Pengarah TVET, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama barisan pengurusan iaitu Dr. Norwahida Yaakub dan Kamal Khalid.

Delegasi GFW International diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Thomas Eichler bersama Sabine Goldberg Eichler, Manuel Mitterer serta Pengarah GFW Malaysia, Wan Hami.
Dr. Nik Adzrieman berkata, pertemuan ini menjadi platform awal dalam membincangkan potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak, selaras dengan aspirasi GFW International dalam menghubungkan bakat global dengan industri di Jerman melalui pendekatan latihan dan pembangunan kemahiran yang tersusun.
Perbincangan tertumpu kepada cadangan penubuhan pusat latihan, pembangunan program TVET di peringkat universiti serta pelaksanaan program antarabangsa yang memberi tumpuan kepada laluan kelayakan, persediaan bahasa Jerman dan peluang kerjaya di Jerman.
Sementara itu, Dr. Shanusi berkata, kerjasama ini turut menjurus kepada pelaksanaan program berasaskan sistem latihan dual Jerman yang menggabungkan pembelajaran teori dan latihan industri.

“Selain itu, kerjasama ini merangkumi bidang seperti kejuruteraan, mekatronik, tenaga boleh baharu, logistik serta penyelenggaraan teknikal, di samping elemen latihan bahasa Jerman, pensijilan dan sokongan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Secara keseluruhannya, perbincangan ini membuka peluang kepada pelajar dan pekerja kemahiran untuk memperoleh kelayakan antarabangsa serta akses kepada laluan kerjaya global, khususnya di Jerman.



