Mahasiswa UUM sahut cabaran ‘Zero Tolerance’ di Kiara 2026
Berita dan gambar oleh: Muhammad Najmudin Nadzri
CYBERJAYA, 17 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkukuh budaya integriti dalam kalangan mahasiswa apabila menghantar delegasi ke Karnival Integriti dan Antirasuah (KIARA) Mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU).
Karnival anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dengan matlamat memperkasa kesedaran integriti serta membudayakan nilai zero tolerance terhadap rasuah dalam kalangan mahasiswa.

Delegasi UUM terdiri daripada lima mahasiswa yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemerkasaan integriti, diiringi oleh Pegawai Pengiring, Encik Farhan Ismail yang juga Pengurus Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM.
Penyertaan ini mencerminkan kesungguhan UUM dalam menyokong agenda pencegahan rasuah bermula dari peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal memimpin negara.
Mengangkat tema ‘Berani Memerangi Rasuah: Mahasiswa Peneraju Perubahan’, KIARA 2026 menjadi platform penting bagi mahasiswa bertukar pandangan serta memperkukuh kefahaman mengenai pencegahan rasuah, selaras dengan aspirasi Sambutan Hari Antirasuah Sedunia 2025–2026.

Program ini turut memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai isu rasuah di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT), termasuk salah guna kuasa dalam organisasi pelajar, penyelewengan dana, manipulasi projek dan ketidakjujuran akademik.
Selain itu, pelbagai pengisian menarik diadakan seperti sesi forum, town hall bersama kepimpinan tertinggi SPRM dan aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan pihak berkuasa.

Peserta juga berpeluang melawat reruai pameran daripada pelbagai agensi, antaranya Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Unit Integriti dan Ombudsman UKM serta SPRM yang menampilkan simulasi dan kes-kes sebenar berkaitan rasuah.
Rata-rata peserta menyifatkan program ini sebagai informatif, interaktif dan berjaya mengubah persepsi bahawa perbincangan mengenai rasuah adalah kaku, sebaliknya lebih dekat dengan realiti kehidupan mahasiswa.
Program seperti ini diharap dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berintegriti tinggi serta berani menolak rasuah demi masa depan negara yang lebih telus dan beretika.



