Campus

EMSS Engagement Day 2026 eratkan hubungan pelajar BEM

Berita dan gambar Pavithra Dorasamy

SINTOK, 7 Jun 2026: Kelab Event Management Student Society (EMSS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan EMSS Engagement Day 2026 yang berlangsung di DKG 8/2, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), baru-baru ini.

Program yang disertai oleh 64 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara (BEM) ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar BEM, di samping memperkenalkan barisan kepimpinan EMSS serta aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan oleh kelab tersebut sepanjang sesi 2026.

Penasihat Kelab EMSS, Pavithra Dorasamy berkata, program ini merupakan platform interaksi yang penting bagi membina hubungan yang lebih rapat antara pelajar BEM melalui aktiviti santai, interaktif dan berfokus kepada semangat kebersamaan.

Menurutnya, EMSS Engagement Day 2026 merupakan program engagement pertama yang berjaya dianjurkan oleh Kelab EMSS sebagai usaha memperkukuhkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kelab.

Program ini dipimpin oleh Pengarah Program, Normaswani Khairul Anuar Adam bersama barisan jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelajar BEM dan sekretariat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan EMSS Engagement Day 2026.

Normaswani berkata, program ini turut mendapat penglibatan sekretariat daripada pelajar sekolah lain di UUM, selain pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara (BEM) bagi memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung mengenai kaedah pengendalian acara, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pelajar BEM, STHEM dan warga pelajar daripada pelbagai sekolah di UUM.

Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi pengenalan dan promosi Kelab EMSS, perkongsian acara akan datang, peragaan serta promosi jersi rasmi EMSS, pelantikan ketua kumpulan bagi Semester 1 hingga Semester 4, aktiviti kotak beracun dan sesi cabutan bertuah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penyelaras Program BEM, Dr. Lina Munirah Kamarudin yang turut menyampaikan ucapan kepada peserta.

Dr. Lina berkata, selain memperkenalkan fungsi dan hala tuju kelab, program ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk berkenalan, berkomunikasi dan membina semangat kerjasama antara semester.

Secara keseluruhannya, EMSS Engagement Day 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuhkan hubungan antara pelajar BEM, meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kelab, serta menyokong usaha membina komuniti pelajar yang aktif, kolaboratif dan berdaya saing di bawah Kelab EMSS.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button