Pensyarah UUM lancar buku baharu terbitan JAKIM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026
Berita dan Gambar oleh: Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor
KUALA LUMPUR, 3 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencatatkan kejayaan dalam bidang penerbitan ilmiah apabila salah seorang pensyarah kanannya, Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor, Pensyarah Kanan di Islamic Business School (IBS) merangkap Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), berjaya menerbitkan sebuah buku ilmiah baharu berjudul Fiqh al-Imam al-Bukhari dari Perspektif Mazhab Shafi‘i melalui penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Buku tersebut telah dilancarkan sempena Majlis Pelancaran Buku-Buku Baharu Terbitan JAKIM 2025 yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang turut menyaksikan pelancaran pelbagai judul baharu terbitan JAKIM dalam usaha memperkukuh penyebaran ilmu dan pemikiran Islam kepada masyarakat.
Buku Fiqh al-Imam al-Bukhari dari Perspektif Mazhab Shafi‘i merupakan hasil penyelidikan dan penulisan yang memberi tumpuan kepada analisis pemikiran fiqh Imam al-Bukhari serta hubungannya dengan pendekatan Mazhab Shafi‘i.

Karya ini diharapkan dapat menjadi rujukan penting kepada para akademia, penyelidik, pelajar serta masyarakat yang berminat dalam bidang hadis dan fiqh Islam.
Menurut Dr. Mohd Murshidi, penerbitan buku tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk mengembangkan kajian dalam bidang hadis, fiqh hadis dan muamalat Islam, khususnya yang berkaitan dengan pemikiran Imam al-Bukhari serta aplikasinya dalam konteks semasa.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen warga akademik UUM dalam menghasilkan karya ilmiah berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu dan pemerkasaan institusi pendidikan tinggi negara.
Penerbitan buku tersebut juga selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, penerbitan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Warga UUM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor atas kejayaan penerbitan dan pelancaran buku tersebut serta mendoakan agar karya berkenaan terus memberi manfaat kepada umat Islam dan dunia akademik.



