Education

Agenda Ekosistem Biru: Mahasiswa UUM suarakan solusi kelestarian di AIRVENTURE 2026

Gambar oleh: Nurul Ieman Azizan

SURABAYA, 20 April – 6 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memantapkan komitmennya dalam memacu agenda kelestarian global dengan menyertai program mobiliti antarabangsa, AUN Summer Camp: AIRVENTURE 2026 yang berlangsung dengan jayanya di Indonesia dan dianjurkan oleh Universitas Airlangga.

Program yang mengangkat tema “Blue Ecosystem Protection” ini bertujuan memberikan pendedahan dan penerokaan mendalam mengenai ekosistem marin serta kepentingan mendesak dalam memelihara biodiversiti laut.

Pengisian program ini dirangka secara hibrid dengan menggabungkan sesi pembelajaran dalam talian dan aktiviti lapangan secara fizikal yang berpusat di Surabaya dan Banyuwangi.

Program berprestij ini telah disertai oleh barisan delegasi mahasiswa dan pemimpin muda dari pelbagai negara, antaranya Vietnam, Indonesia, Singapura, Malaysia, Kemboja, Myanmar, Filipina, Thailand dan Uzbekistan.

Kehadiran kepelbagaian wakil negara ini menjadikan AIRVENTURE 2026 sebuah platform yang dinamik. Para peserta bukan sahaja mempelajari kaedah memelihara alam sekitar secara teori dan praktikal, malah berpeluang membincangkan solusi terhadap cabaran yang dihadapi oleh negara masing-masing di peringkat ASEAN demi membentuk masa depan yang lebih baik dan lestari.

 

Delegasi UUM ke program ini diwakili oleh dua pemimpin pelajar, iaitu Nurul Ieman Azizan dari Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) dan Shakira Sae Chong dari Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) INASIS BSN.

Penglibatan mereka bukan sahaja membawa nama universiti ke pentas serantau, malah menjadi platform penting untuk membina jaringan strategik antarabangsa.

Program dimulakan secara dalam talian pada 20 dan 21 April melalui aplikasi Zoom sebagai persediaan awal peserta. Fasa fizikal pula bermula pada 26 April di Surabaya dengan melibatkan kuliah intensif di Fakulti Perubatan Veterinar serta Fakulti Perikanan dan Kelautan.

Antara kursus utama yang dikendalikan oleh pakar termasuklah One Health, Marine Wildlife Conservation, Fish are All Around Us, Marine Microbiology, Fish Meal Replacement dan Marine Biodiversity.

 

Peserta turut menjalani latihan praktikal melalui lawatan ke kawasan pemuliharaan paya bakau dan Fish Booster Centre bagi meninjau usaha pemuliharaan habitat pesisir. Mereka juga menyertai bengkel batik sebagai elemen pertukaran budaya yang memperkayakan pengalaman sepanjang program.

Kembara diteruskan ke Banyuwangi, di mana delegasi UUM menyertai bengkel terumbu karang di Bangsring Underwater untuk mempelajari pengurusan zon perlindungan marin secara lestari. Pengalaman peserta turut diperkaya melalui lawatan budaya ke Kampung Adat Kemiren dan sesi pemuliharaan penyu di Kampus Fakultas Ilmu Kesehatan, Kedoktoran dan Ilmu Alam (FIKKIA).

Program diakhiri dengan pembentangan projek inovasi pelajar dan persembahan kebudayaan sebelum melabuhkan tirainya secara rasmi.

Menurut Shakira Sae Chong, pendedahan menyeluruh sepanjang program ini membuka mata tentang betapa kritikalnya pengurusan ekosistem marin yang holistik dalam mendepani isu perubahan iklim global.

“Melalui kursus seperti Marine Wildlife Conservation dan lawatan ke Bangsring Underwater, kami dapat melihat bagaimana teori akademik diterjemahkan kepada tindakan komuniti yang memberi impak besar. Pengalaman ini menyuntik inspirasi buat kami untuk membawa pulang model kesedaran alam sekitar ini bagi memupuk budaya cintakan ekosistem hijau dalam kalangan warga kampus UUM,” ujar beliau.

Sementara itu, Nurul Ieman Azizan menyifatkan AIRVENTURE 2026 sebagai wadah terbaik bagi mahasiswa untuk bangkit sebagai ejen perubahan dan menterjemahkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim), ke dalam tindakan yang nyata.

“Berinteraksi, bertukar idea dan membincangkan solusi bersama delegasi dari pelbagai negara serantau menyedarkan kami bahawa krisis alam sekitar merupakan isu rentas sempadan yang memerlukan kesepakatan di peringkat ASEAN,” katanya.

“Selepas menjalani program ini, kami benar-benar menyedari bahawa perlindungan terhadap alam sekitar merupakan satu tanggungjawab, bukannya satu pilihan (a responsibility, not a choice). Sebagai anak muda dan pemimpin pelajar, kami mempunyai peranan yang sangat signifikan untuk memimpin advokasi alam sekitar demi masa depan serantau yang lebih baik,” tegas beliau.

Penyertaan dinamik delegasi UUM dalam program AIRVENTURE 2026 menjadi manifestasi jelas komitmen berterusan universiti dalam menyokong agenda pengantarabangsaan dan kelestarian hijau. Menerusi penglibatan aktif di peringkat global, UUM terus melangkah gagah dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah memiliki pemikiran holistik, kompeten dan peka terhadap kesejahteraan alam sekitar demi masa hadapan generasi akan datang. – Nurul Ieman Azizan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button