CeTMA perkasa komuniti kampung rawa melalui program celik kewangan dan kesedaran kitar semula
Berita dan gambar oleh: Nabila Ayuni Saiful Bahari
CHANGLUN, 21 April 2026: Program Dari Sisa ke Rezeki: Kampung Lestari di bawah Projek Transformasi Changloon (CTP) – The Knowledge Society telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan aktif komuniti Kampung Rawa serta kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Inapan Siswa (Inasis) TNB dan E-Idaman Sdn. Bhd.
Sebagai rakan penganjur, CeTMA memainkan peranan penting dalam pelaksanaan aktiviti berteraskan pendidikan komuniti, khususnya melalui penganjuran Program Roda Impian: Celik Kewangan dan Pertandingan Mewarna Bertemakan Kitar Semula yang melibatkan penyertaan kanak-kanak setempat.

Pelaksanaan program merangkumi kutipan bahan sisa, Bengkel Eko-Kraft dan Eco Plogging Challenge yang melibatkan pelajar universiti serta komuniti Kampung Rawa bagi memupuk amalan 3R dan meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Dalam masa yang sama, CeTMA turut menganjurkan dua aktiviti interaktif iaitu Program Roda Impian: Celik Kewangan dan Pertandingan Mewarna Bertemakan Kitar Semula yang melibatkan penyertaan kanak-kanak komuniti setempat. Kedua-dua aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesedaran awal berkaitan pengurusan kewangan serta kepentingan penjagaan alam sekitar melalui pendekatan santai dan berinformasi.
Program Roda Impian: Celik Kewangan memberi pendedahan awal kepada komuniti setempat, khususnya kanak-kanak, mengenai asas pengurusan kewangan merangkumi aspek perbelanjaan berhemah, kepentingan simpanan, perlindungan takaful serta perancangan persaraan melalui pendekatan kuiz interaktif. Mereka turut didedahkan dengan konsep membezakan keperluan dan kehendak, kepentingan merancang bajet, amalan menabung secara konsisten serta kesedaran terhadap perlindungan kewangan dan simpanan jangka panjang.

Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof berkata, penganjuran aktiviti berunsurkan pendidikan awal seperti ini mampu membentuk pemikiran kanak-kanak agar lebih peka terhadap aspek kewangan dan kelestarian alam sejak usia muda.
Menurut beliau, pendekatan interaktif melalui permainan dan aktiviti kreatif bukan sahaja menarik minat peserta, malah membantu meningkatkan kefahaman serta penglibatan aktif dalam kalangan komuniti.
Program ini diteruskan dengan aktiviti penghasilan arca daripada bahan sisa serta aktiviti rewang yang mengeratkan hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan.
Kemuncak program berlangsung pada 18 April 2026 melalui Hari Kitar Semula yang berjaya mengumpulkan sebanyak 1,126.5 kilogram bahan kitar semula, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi komuniti terhadap amalan lestari.



