Program Training of Trainers perkasa peranan career buddies menjelang karnival kerjaya
Gambar oleh: PPKKG
SINTOK, 24 April 2026: Program Training of Trainers (ToT) Career Buddies CDGEC 2026 telah dilaksanakan pada 24 April 2026 bertempat di EDC Hotel dengan penyertaan sepuluh (10) orang pelajar yang terpilih sebagai Career Buddies.
Program anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) ini adalah sebagai persediaan awal bagi memastikan kelancaran penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 Mei akan datang.

Sepanjang program ini, Nur Farah Johari, Pegawai Psikologi PPKKG telah memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPKKG, di samping menekankan kepentingan penglibatan aktif Career Buddies dalam pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak PPKKG.
Selain itu, beliau turut menerangkan peranan dan tanggungjawab sebagai Career Buddies dan menerangkan secara terperinci berkaitan kemahiran komunikasi, cara berinteraksi dengan peserta program, serta pendekatan yang efektif dalam membantu pelajar mengenal pasti hala tuju kerjaya mereka.
Peranan Career Buddies amat penting sebagai penghubung utama antara PPKKG dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM). Mereka bertanggungjawab memberikan bimbingan secara langsung kepada pelajar, membantu menjawab pertanyaan berkaitan laluan kerjaya, serta memastikan pelajar mendapat maklumat yang tepat dan jelas tentang program dan aktiviti oleh PPKKG. Sikap proaktif, mesra dan berpengetahuan menjadi elemen utama yang perlu ada dalam diri setiap Career Buddies bagi menjamin keberkesanan penyampaian maklumat.
Seterusnya, program turut menjemput Muhammad Noor Fitri Ahmad, Pegawai Psikologi dari Pusat Kaunseling, bagi memberikan penerangan lanjut berkaitan peranan setiap ahli jawatankuasa dalam menjayakan program karnival akan datang.

Sesi ini membantu peserta memahami struktur organisasi program serta tanggungjawab khusus yang perlu digalas oleh setiap jawatankuasa, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan program secara menyeluruh. Peserta juga didedahkan dengan skop kerja yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa, dan selepas program berlangsung.
Menurut Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, penganjuran program ini merupakan satu langkah proaktif dalam memperkasakan peranan Career Buddies sebagai penghubung utama kepada pelajar UUM. Beliau menyatakan bahawa latihan seperti ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan peserta dalam menghadapi situasi sebenar semasa program berlangsung. “Saya berharap semua Career Buddies dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh hari ini dan mengaplikasikannya dengan penuh komitmen demi memastikan kejayaan Karnival Kerjaya UUM 2026 nanti,” katanya.

Program ini juga menekankan aspek kerja berpasukan, pengurusan masa, serta keupayaan menyelesaikan masalah secara profesional bagi memastikan setiap aktiviti dan program dapat dijalankan dengan teratur dan berkesan. Latihan secara praktikal dan sesi simulasi turut diadakan bagi meningkatkan keyakinan peserta dalam melaksanakan tugas yang bakal dipertanggungjawabkan.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan barisan Career Buddies yang kompeten, berpengetahuan dan memberikan manfaat serta menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan program-program yang akan datang. – Anis Zulaikha Kamal



