SOL UUM perkukuh kolaborasi industri dan alumni melalui siri perjumpaan strategik
Gambar Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab
PUTRAJAYA, 5 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan siri perjumpaan strategik bersama pemegang taruh utama yang melibatkan alumni dan pemain industri pada 29 dan 30 April lalu.

Delegasi SOL yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Chiew Choon Man merupakan alumni program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) UUM yang bergraduat pada tahun 2016. Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan peranan alumni dalam menyokong pembangunan akademik serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan industri, delegasi turut mengadakan pertemuan bersama Datuk Lukman Sheriff Alias di Firma Zul Rafique & Partners di Kuala Lumpur.

Sebagai Penasihat Industri program LLB UUM, beliau telah memberikan pandangan berkaitan keperluan semasa industri guaman, khususnya dalam memastikan kurikulum akademik kekal relevan dan selari dengan amalan profesional.
Selain itu, pertemuan bersama Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar yang diadakan UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) turut diadakan bagi meneroka peluang kolaborasi strategik antara akademia dan industri. Antara perkara yang dibincangkan termasuk pengukuhan latihan industri, pendedahan profesional kepada pelajar, serta penglibatan pengamal undang-undang dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang mediasi dan potensi pembangunan pensijilan profesional berkaitan mediasi.
Siri perjumpaan ini mencerminkan komitmen berterusan SOL dalam memperkukuhkan jaringan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan, sejajar dengan usaha memastikan program akademik yang ditawarkan kekal berdaya saing, responsif dan memenuhi keperluan semasa industri. – Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani



