Education

Bengkel Pembangunan Modul Keusahawanan CEDI perkukuh kandungan modul latihan

Berita dan gambar Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan

SEBERANG JAYA, 5 Mei 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembangunan Modul Latihan Keusahawanan CEDI 2026: “Ke Arah Kandungan Berstruktur dan Berimpak Tinggi” yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 April lalu.

Pengarah Program, Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan yang juga Timbalan Pengarah (Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Komuniti) CEDI berkata, program yang diadakan di Ixora Hotel ini menghimpunkan tenaga pengajar, penyelidik serta penggiat pembangunan keusahawanan bagi memperkukuh kandungan modul latihan yang lebih sistematik, relevan dan berimpak tinggi.

Menurutnya, hasil daripada bengkel ini, sebanyak tujuh modul latihan keusahawanan telah berjaya dibangunkan dengan penglibatan 21 penulis yang terdiri daripada tenaga akademik dan pakar dalam bidang berkaitan.

Katanya, pembangunan modul ini mencerminkan komitmen CEDI dalam menghasilkan kandungan latihan berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan semasa pembangunan usahawan.

“Lebih signifikan, modul yang dibangunkan ini mempunyai potensi untuk dikomersialkan dan dipasarkan kepada pelbagai segmen termasuk industri, syarikat korporat serta masyarakat pelajar.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperluas impak ilmu kepada komuniti, malah menjadi sebahagian daripada strategi penjanaan pendapatan CEDI melalui pelaksanaan program latihan dan pembangunan keusahawanan,” katanya.

Selain itu, modul-modul tersebut akan melalui proses perlindungan harta intelek (Intellectual Property) bagi memastikan pemilikan dan pengiktirafan terhadap hasil pembangunan tersebut terjamin.

Seterusnya, pihak CEDI turut merancang untuk melaksanakan strategi pelesenan (licensing) sebagai pendekatan pengkomersialan, sekali gus membuka peluang kerjasama strategik dengan pelbagai pihak luar.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada teknik penyusunan modul berasaskan hasil pembelajaran, integrasi elemen praktikal serta penggunaan kajian kes sebenar dalam latihan keusahawanan. Pendekatan hands-on yang diterapkan membolehkan pembangunan modul dilakukan secara kolaboratif dan berfokus kepada impak sebenar.

Bagi memastikan kelancaran program, CEDI telah melantik barisan sekretariat dalam kalangan pegawai dan tenaga pengajar yang bertanggungjawab menyelaras perjalanan program, pengurusan logistik serta dokumentasi sepanjang bengkel berlangsung.

Program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modul latihan keusahawanan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mampu memberikan impak ekonomi, sosial serta nilai komersial kepada universiti dan masyarakat.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif, Dr. Juhaida Abu Bakar dan pegawai-pegawai kanan CEDI.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button