STML UUM teruskan kerjasama strategik bersama KDEBWM
Berita dan gambar oleh: Salina Ali
SHAH ALAM, SELANGOR, 17 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke KDEB Waste Management (KDEBWM) baru-baru ini bagi memperkukuh hubungan strategik, khususnya dalam bidang pengurusan sisa pepejal, kelestarian dan pembangunan bakat.
Delegasi STML diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan bin Abdul Rahim, bersama barisan akademik yang terdiri daripada Felo Technology and Supply Chain Excellence Institute (TeSCE), Prof. Madya Dr. Halim bin Mad Lazim, serta Pengerusi Pascasiswazah STML, Dr. Rushanim binti Hashim dan Dr. Syairah Aimi binti Shahron.

Kunjungan ini telah disambut oleh Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Hj. Ramli Mohd Tahir, yang berkongsi pandangan strategik berkaitan cabaran dan hala tuju industri pengurusan sisa di Malaysia. Perbincangan turut menyentuh aspek kecekapan operasi, penggunaan teknologi serta pelaksanaan amalan kelestarian dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa.
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan, kerjasama erat antara institusi akademik dan industri amat penting dalam memastikan pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan semasa.
“Kolaborasi strategik seperti ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kepakaran, malah memberi peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk memahami realiti industri serta menyumbang kepada penyelesaian berimpak tinggi dalam pengurusan sisa dan kelestarian,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Hj. Ramli Mohd Tahir turut menzahirkan komitmen KDEBWM dalam menyokong kerjasama bersama institusi pengajian tinggi.
“KDEBWM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak universiti dalam usaha memperkasa inovasi dan amalan terbaik dalam pengurusan sisa pepejal. Gabungan kepakaran akademik dan pengalaman industri mampu menghasilkan pendekatan baharu yang lebih mampan dan efisien,” ujarnya.
Kunjungan hormat ini menjadi platform penting untuk meneruskan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang pengurusan rantaian bekalan hijau, teknologi pengurusan sisa, latihan industri serta perkongsian kepakaran selaras dengan agenda kelestarian dan ekonomi kitaran.



