SoG rai 236 pelajar cemerlang di Majlis Kecemerlangan Pelajar dan Anugerah Dekan
Gambar Media MAD SoG 2026
SINTOK, 5 Mei 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Awam dan Persatuan Pengurusan Pembangunan telah menganjurkan Majlis Kecemerlangan Pelajar SoG dan Anugerah Dekan sesi A242 dan A251 pada 28 April lalu di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia.

Majlis telah dirasmikan oleh Dekan SoG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf di mana beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih dan komitmen tinggi pelajar, serta menekankan kepentingan kepimpinan, disiplin dan keseimbangan diri dalam melahirkan graduan yang holistik dan berkualiti.
Menurutnya, majlis ini telah menghimpunkan seramai 236 pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (BDM) yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam akademik.
“Majlis ini bertujuan sebagai platform penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang, di samping menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam pengajian masing-masing,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan alunan ayat suci Al-Quran, tayangan video montaj, gimik perasmian sebelum penyampaian sijil Anugerah Dekan diberikan kepada penerima anugerah. Selain itu, Anugerah Kecemerlangan SoG turut disampaikan bagi kategori akademik dan kepimpinan.
Sementaar itu, Pengarah Program merangkap Presiden Persatuan Pengurusan Awam, Nur Sufina Mohd Nazaruddin berkata, penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, malah menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan dedikasi mereka sepanjang tempoh pengajian.

Nur Sufina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya jawatankuasa pelaksana, pensyarah, staf akademik serta pihak pengurusan SoG yang telah memberikan komitmen dalam memastikan kelancaran majlis.
Penganjuran majlis ini diharapkan dapat diteruskan sebagai satu tradisi kecemerlangan dalam membudayakan penghargaan terhadap pencapaian akademik, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan berkepimpinan selaras dengan aspirasi universiti. – Nur Sufina Mohd Nazaruddin dan Dr. Nur Fariha Mohd Noor



