Campus

Pengajian kitab turath perkukuh tradisi ilmu dan adab warga kampus

Gambar oleh: Abdul Razak Abdullah

SINTOK, 5 Mei 2026: Dalam usaha memartabatkan tradisi keilmuan Islam yang berteraskan adab dan penghayatan rohani, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pengajian Kitab Bulanan bersama Baba Mokhtar yang berlangsung di Dewan Seminar, Kompleks Pusat Islam UUM.

Kuliah sulung program ini berjaya menghimpunkan penyertaan pelbagai lapisan warga universiti, termasuk pelajar, kakitangan serta pesara UUM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan komuniti kampus dalam mendekati khazanah ilmu turath secara berstruktur dan berterusan.

Dalam sesi pengajian tersebut, Baba Mokhtar telah memulakan kuliah dengan memperkenalkan dua buah kitab, iaitu Penawar Bagi Hati karya Sheikh Abdul Qadir al-Mandili serta Risalah Persediaan Bagi yang Sakit Mati tulisan Tuan Guru Haji Ismail bin Mahmud. Kedua-dua kitab ini menekankan aspek pembinaan jiwa, pengukuhan adab serta persediaan insan dalam menghadapi hakikat kehidupan dan kematian.

Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha strategik Pusat Islam dalam membawa pengajian berteraskan adab kepada warga kampus, selari dengan gagasan Naib Canselor UUM, Ahmad Martadha Mohamed iaitu “Menjulang Ilmu, Mengakar Adab” yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan intelektual dan pembinaan sahsiah.

Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md. Sabri ketika ditemui berkata, “Program pengajian kitab seperti ini bukan sekadar medan penyampaian ilmu, tetapi merupakan ruang pembentukan adab dan jiwa warga universiti. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beradab, selaras dengan tuntutan tradisi keilmuan Islam.”

Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif pengajian kitab bulanan ini dapat dilestarikan sebagai wadah pembangunan insan yang holistik dalam kalangan warga kampus. “Diharapkan program ini akan terus mendapat sambutan dan menjadi amalan berterusan, sekali gus menyemai kecintaan terhadap ilmu serta membentuk keperibadian yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi,” ujarnya. – Nor Azlinah Zaini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button