AHSGS UUM perkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Penjara Kedah
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar
KEDAH, 29 April 2026: Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) terus mempergiat usaha memperkukuh jaringan strategik apabila membuat kunjung hormat ke atas YDH TKP Charin Promwichit A/L Chem, Pengarah Penjara Negeri Kedah.
Kunjungan hormat tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan pelbagai kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Antara fokus utama perbincangan termasuk pembangunan dan penawaran program pengajian pascasiswazah dalam bidang sains koreksional, pelaksanaan sijil eksekutif kerja sosial, SISKOR dengan Pusat Kokurikulum UUM serta penganjuran seminar PESAN anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial (SAPSP).
Dekan AHSGS UUM, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, Jabatan Penjara Malaysia merupakan rakan strategik universiti dalam memperluas bidang kepakaran berkaitan koreksional.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi, malah membuka ruang kepada pembangunan program akademik yang lebih relevan, berimpak tinggi dan selari dengan keperluan semasa sektor koreksional negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sinergi antara institusi akademik dan agensi seperti Jabatan Penjara amat penting dalam menyokong pembangunan modal insan dan kompetensi khususnya dalam aspek pemulihan, rehabilitasi dan reintegrasi sosial penghuni institusi pemulihan.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Dr. Za’im Ahmad, Pengarah Pusat Kokurikulum, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad, Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial (SAPSP), serta pensyarah-pensyarah SAPSP yang bersama-sama menyokong agenda kolaborasi strategik ini.
Dalam masa sama, kunjungan hormat ini dilihat sebagai langkah untuk memperkasa perkongsian kepakaran, memperluas jaringan profesional serta merintis pelaksanaan program bersama yang lebih tersusun, mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.



