Campus

USR PPKKG bantu pelajar tingkatan 6 kenali potensi diri dan hala tuju kerjaya

Gambar oleh: SMK Datuk Syed Ahmad

KUALA NERANG, 30 April 2026: Program University Social Responsibility (USR) anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama SMK Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan seramai 100 orang pelajar Tingkatan 6 serta 20 orang guru Tingkatan 6.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hala tuju pendidikan tinggi serta perancangan kerjaya yang lebih terarah.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Mohamad Zahir bin Mohamad Syed, Penolong Kanan Tingkatan 6, yang menekankan kepentingan pelajar merancang masa depan sejak di bangku sekolah lagi.

Beliau turut menggalakkan para pelajar agar memanfaatkan peluang melalui program ini untuk mendapatkan panduan dan inspirasi dalam menentukan hala tuju masa depan.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, yang menegaskan peranan institusi pendidikan tinggi dalam membantu pelajar memahami keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau turut menekankan kepentingan kemahiran insaniah, daya saing dan kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

PPKKG turut menjemput Puan Azian Nafiah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA), UUM untuk memberi pendedahan menyeluruh berkaitan laluan pendidikan ke universiti, syarat kemasukan serta pemilihan program pengajian di UUM yang bersesuaian dengan minat dan potensi pelajar.

Selain itu, para pelajar turut mengikuti taklimat ujian kerjaya yang disampaikan oleh Nur Farah Johari, Pegawai Psikologi PPKKG. Taklimat ini merangkumi penerangan berkaitan kepentingan ujian kerjaya dalam mengenal pasti minat, personaliti dan kecenderungan individu.

Lebih menarik, sesi ini turut melibatkan analisis dan penerangan keputusan ujian kerjaya kepada para pelajar. Melalui analisis tersebut, pelajar dapat memahami profil diri masing-masing dengan lebih jelas, termasuk kecenderungan bidang kerjaya, kekuatan diri serta aspek yang boleh dipertingkatkan.

Nur Farah Johari turut memberikan panduan bagaimana keputusan ujian tersebut boleh dijadikan rujukan dalam membuat pilihan pengajian dan kerjaya yang selari dengan minat dan potensi diri.

Sebagai penutup program, telah diadakan sesi penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bergambar melibatkan semua peserta, penceramah serta pihak penganjur sebagai kenangan dan simbol kejayaan pelaksanaan program.

Secara keseluruhannya, program USR ini berjaya mencapai objektif dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan 6 mengenai pendidikan tinggi dan hala tuju kerjaya.

Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan pelajar yang lebih yakin, berdaya saing dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button