Campus

Dari Sintok ke Bandung: Pelajar UUM hayati pengalaman silang budaya

Gambar oleh: STIA LAN, Bandung

BANDUNG, INDONESIA, 6 Mei 2026:  Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh pendedahan antarabangsa dalam kalangan mahasiswa melalui penganjuran Program Silang Budaya yang dilaksanakan di bawah Program Jaringan Ilmiah antara Universiti Utara Malaysia dan Politeknik Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi STIA LAN, Bandung, Indonesia.

Program ini merupakan sebahagian daripada Program Mobiliti Antarabangsa Luar Bukan Kredit yang bertujuan memberi pengalaman pembelajaran rentas budaya kepada pelajar melalui interaksi akademik, sosial dan komuniti bersama rakan institusi antarabangsa.

Pelaksanaan program ini adalah hasil kerjasama antara Persatuan Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Kerajaan dan Inasis Bank Islam UUM, dengan penglibatan seramai 29 orang pelajar serta empat orang pensyarah pengiring, iaitu Dr. Khofizhoah binti Mohd Karim, Dr. Adi Syahid bin Mohd Ali, Dr. Aidanajwa binti Sabri dan Dr. Mariah binti Darus @ Mat Junus.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang mengenali budaya, adat, nilai masyarakat dan cara hidup masyarakat tempatan di Bandung. Pengalaman ini membuka ruang kepada peserta untuk memahami kepelbagaian budaya serantau, sekali gus memperkukuh nilai saling menghormati, keterbukaan minda dan keupayaan berkomunikasi dalam persekitaran antarabangsa.

Selain itu, program ini turut menjadi platform kepada pelajar UUM untuk memperkenalkan identiti, nilai dan budaya Malaysia kepada komuniti serta rakan pelajar di Bandung. Perkongsian budaya ini bukan sahaja mempererat hubungan antara kedua-dua institusi, malah menggalakkan pembelajaran dua hala yang lebih bermakna melalui pengalaman sebenar di lapangan.

Program Silang Budaya ini juga menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara UUM dan Politeknik STIA LAN Bandung melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Melalui interaksi rentas budaya, pelajar dapat melihat kepentingan kefahaman budaya dalam membina hubungan antarabangsa yang harmoni dan berkesan.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Program Silang Budaya ini mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing global dan peka terhadap kepelbagaian masyarakat. Program ini turut memperkukuh aspirasi universiti dalam membina jaringan antarabangsa yang berimpak melalui ilmu, pengalaman dan hubungan serantau.  – Dr. Aidanajwa Sabri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button