Penyelidikan pressmud terus manfaatkan komuniti padi Kedah
Berita dan gambar Nur Azean Baharom
PADANG TERAP, 10 Mei 2026: Projek penyelidikan komuniti berimpak tinggi yang menggabungkan kepakaran akademik Universiti Utara Malaysia (UUM), inovasi industri, dan penglibatan komuniti desa kini mula dilaksanakan di Kedah.
Projek ini diterajui oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Dr. Maheera Mohamad dengan kerjasama strategik Central Sugars Refinery (Padang Terap) Sdn. Bhd. (CSR) serta komuniti petani Kampung Parit Buaya, Alor Setar.

Pada Jumaat lalu, satu pertemuan dan lawatan teknikal telah diadakan di kilang CSR Padang Terap yang diketuai Dr. Maheera disambut oleh barisan pengurusan kanan CSR iaitu Ketua Operasi Loji, CSR Padang Terap, Suhaimi Said diiringi Pengurus Kanan Pengeluaran, Fauzi Salleh; Pengurus Rakan Kongsi Perniagaan Sumber Manusia, Abu Hassan Mad Hashim dan Pengurus Kanan, Jaminan Kualiti, Suzeyanti Sabri.
Dr. Maheera berkata, tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan dua agenda penting iaitu mengintegrasikan dua bahan buangan utama industri gula iaitu pressmud dan molases sebagai agen pengubah suai tanah bendang yang lestari dan pensampelan Pressmud dan Molases untuk Projek Komuniti Kg. Parit Buaya di mana sampel bahan akan digunakan dalam kajian berskala kecil (small pilot scale study) bagi menguatkan struktur tanah serta meningkatkan tahap kesuburan tanah bendang secara organik.

Menurutnya, kerjasama tiga hala ini unik kerana ia mewujudkan hubungan kerjasama UUM–CSR–Komuniti Kampung.
“UUM membawa kepakaran penyelidikan dan inovasi hijau iaitu CSR membekalkan bahan buangan industri yang bernilai tinggi (pressmud & molasses) serta kepakaran mengurus bahan buangan industri gula; manakala komuniti Kampung Parit Buaya menjadi lokasi ujian lapangan dan sebagai penerima manfaat secara langsung menggunakan teknologi hijau ini.
“Projek yang bertajuk “Application of Pressmud & Molasses from Sugar Refinery Industry in Small Pilot Scale Study for Improving Paddy Production Productivity in Kedah” ini dijangka dapat menyelesaikan isu semasa penurunan kesuburan tanah bendang selepas beberapa musim penanaman.
“Melalui aplikasi pressmud yang kaya dengan bahan organik dan molases yang merangsang mikroorganisma tanah, struktur tanah menjadi lebih gembur, kapasiti pegangan air dan nutrien meningkat, lalu secara langsung berpotensi meningkatkan hasil padi dengan lebih tinggi berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Dr. Maheera berkata, pihaknya tidak hanya membincangkan teori di makmal, sebaliknya mereka turun ke lapangan, melihat sendiri proses dan mengambil sampel sebenar dari CSR.
Menurutnya, penyelidikan pressmud ini terus memberi manfaat kepada komuniti padi di Kedah dari sisa kilang, ia bertukar menjadi agen tambahan yang menyuburkan tanah bendang dan akhirnya meningkatkan pendapatan pesawah.
Sementara itu, Suhaimi berkata, inisiatif ini amat dialu-alukan oleh pihaknya dan menjadi tanggungjawab sosial korporat bagi membantu komuniti setempat.
“Kami gembira melihat bahan yang sebelum ini dianggap sisa, kini mampu mengubah nasib pesawah di kampung sekitar,” katanya.
Projek penyelidikan komuniti ini merupakan sebahagian daripada komitmen Dr. Maheera yang konsisten dalam memanfaatkan sisa industri untuk kebaikan komuniti. Dengan adanya kerjasama UUM-CSR-Kampung Parit Buaya ini, satu model baharu pembangunan pertanian mampan di Kedah bakal menjadi realiti.



