Campus

Sesi Q-Quest perkasa ekosistem penerbitan penyelidikan UUM

Gambar Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal​

SINTOK, 10 Mei 2026: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) melalui Bahagian Penerbitan Penyelidikan telah menganjurkan sesi “Q-Quest: Empowering Publications, Embracing Synergy” bertempat di Bilik TAMRA, Kompleks Konvensyen, baru-baru ini.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, berkata, sesi strategik bertemakan “From Ground Zero to a Resilient Research Publication Ecosystem” ini bertujuan memperkukuhkan penyelesaian dan strategi penerbitan universiti melalui kolaborasi dan sinergi yang lebih mantap antara pusat pengajian dan RMC serta pusat tanggungjawab di bawah portfolio penyelidikan dan inovasi.

Menurutnya, melalui analisis data yang diperoleh dalam sesi “Ground Zero – The Q-Quest” pada 3 Mac yang lalu, sesi ini berjaya mengenal pasti tiga faktor utama yang mempengaruhi kelestarian penerbitan, iaitu Ekosistem, Pembiayaan, dan Beban Kerja. Sebagai solusi, RMC memperkenalkan kerangka kerja yang berpaksikan tiga tiang strategik:

  • Inclusive: Menyediakan laluan khusus untuk semua kategori akademik, termasuk pengaktifan semula penyelidik dorman.
  • Collaborative: Memperkasakan bimbingan mentor melalui kumpulan penyelidik (RG) dan konsortium antara pusat pengajian.
  • Empowering: Memberikan insentif seperti Skim Insentif Penerbitan (SIP) dan Skim Pembiayaan Yuran Penerbitan Jurnal (SPYPJ) di samping bantuan penulisan melalui bengkel bersasar bagi memastikan kualiti dan kuantiti penerbitan terus meningkat.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang turut berterima kasih atas kehadiran peserta yang terdiri daripada Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), pengerusi jawatankuasa penerbitan dan pengerusi jawatankuasa penyelidikan pusat pengajian.

Sesi yang menjadi platform perkongsian hasil dapatan dan sesi perbincangan dua hala ini diharap menjadi jambatan dalam menghubungkan maklum balas warga akademik ke arah pembinaan ekosistem penerbitan penyelidikan yang lebih berdaya saing dan holistik di UUM. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni dan Suhailawati Mohd. Shamsudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button