Education

SOE UUM perkasa jaringan antarabangsa di NICE 2026, Phuket

Berita dan gambar Dr. Nor Asikhin Ishak

PHUKET, 10 Mei 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan keterlibatan akademik di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam The 12th National and 8th International Conference on Education (NICE 2026) yang berlangsung di Royal Phuket City Hotel, Phuket, Thailand.

Persidangan berprestij bertemakan “Beyond Regeneration: Transformative Pathways for Future Learning” itu menghimpunkan sarjana, penyelidik dan pengamal pendidikan daripada pelbagai negara, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, China dan Korea Selatan, bagi membincangkan transformasi pendidikan masa hadapan.

SOE UUM diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Norasyikin Mohaiyuddin danPengerusi Program Kaunseling dan Moral (UG) Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Nor Asikhin Ishak.

Dr. Nor Asikhin telah membentangkan kertas penyelidikan bertajuk “Toxic Peer Relationship Dynamics and Interpersonal Communication Competence Among Trainee Teachers” pada sesi International Oral Presentation bagi tema Culture, Society and Communication di Bon Room pada 7 Mei 2026.

Dr. Nor Asikhin berkata, kajian yang dibentangkan memberi fokus kepada dinamika hubungan toksik rakan sebaya dan kompetensi komunikasi interpersonal dalam kalangan guru pelatih, satu isu yang semakin mendapat perhatian dalam konteks kesejahteraan emosi dan pembangunan profesional pendidik masa kini.

Sementara itu, Dr. Norasyikin turut mengharumkan nama universiti menerusi pembentangan bertajuk “Self-Concept, Career Self-Efficacy and Career Readiness Among Undergraduate Students in Higher Education Institutions”.

Pembentangan tersebut diadakan di Hay Room dengan tema “Health, Psychology and Wellbeing” yang meneliti hubungan antara konsep kendiri, efikasi kendiri kerjaya serta kesediaan kerjaya mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan kompetitif.

Menariknya, persidangan NICE 2026 kali ini menampilkan penyertaan akademik daripada pelbagai universiti dan institusi antarabangsa seperti Prince of Songkla University, Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Malang, Mahidol University, Guangxi Normal University, Adamson University dan beberapa institusi pendidikan lain dari rantau Asia.

Pembentangan dan sesi perbincangan ilmiah yang berlangsung di beberapa bilik utama, termasuk Bon Room, Maithon Room, Nakha Room dan Hay Room, memperlihatkan pertukaran idea serta perkongsian amalan terbaik dalam bidang pendidikan, psikologi, inovasi pembelajaran dan pembangunan guru.

Kehadiran delegasi SOE UUM di persidangan ini sekali gus membuktikan bahawa universiti tempatan mampu berdiri seiring dengan institusi antarabangsa dalam membincangkan isu pendidikan masa depan secara profesional dan berimpak tinggi.

Melalui penglibatan aktif dalam wacana global seperti NICE 2026, SOE UUM terus melakar peranan sebagai pusat pendidikan yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah turut menyumbang kepada pembangunan ilmu serta kesejahteraan masyarakat sejagat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button