Pengetua Inasis UUM sertai Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di WTCKL
Gambar Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin
KUALA LUMPUR, 10 Mei 2026: Barisan pengetua Inapan Siswa (Inasis) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Kongres Pendidikan Bumiputera yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.
Penyertaan delegasi pengetua Inasis mencerminkan komitmen UUM dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan negara dan memperkukuhkan jaringan kerjasama bersama institusi pendidikan serta agensi berkaitan.

Pengerusi Majlis Pengetua UUM, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, kongres berprestij tersebut menghimpunkan tokoh pendidikan, pemimpin akademik, penggubal dasar serta pelbagai agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju pendidikan Bumiputera dalam menghadapi cabaran era globalisasi dan revolusi digital.
Menurutnya, penganjuran kongres ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara melalui perkongsian idea, cadangan dasar dan amalan terbaik yang mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan modal insan.

“Antara intipati utama yang dibincangkan ialah usaha penambahbaikan pendidikan tahfiz agar lebih relevan dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai teras Islam, selain memperkukuh kemahiran pedagogi dan profesionalisme guru Tadika KEMAS dalam mendidik generasi awal kanak-kanak secara lebih kreatif, holistik dan berkesan.
“Selain itu, kongres turut menekankan kepentingan integrasi teknologi dalam pendidikan, pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar, kesejahteraan guru serta kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan komuniti. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai jati diri, nilai moral dan daya saing tinggi,” katanya.
Melalui penglibatan dalam kongres ini, para pengetua turut memperoleh pelbagai input dan idea baharu yang boleh dimanfaatkan dalam usaha memperkasa pembangunan mahasiswa dan komuniti pendidikan secara menyeluruh. – Dr. Nurul Huda Ibrahim



