Education

TISSA-UUM perkukuh kerjasama antarabangsa, kongsi kepakaran pengelolaan kewangan desa bersama Kemendes PDTT Indonesia

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz

JAKARTA, 10 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) terus memacu kecemerlangan dalam agenda pemindahan ilmu di peringkat serantau menerusi satu pertemuan strategik bersama Direktorat Jenderal Percepatan Pembangunan Daerah Tertinggal (PPDT), Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal, dan Transmigrasi (Kemendes PDTT) Republik Indonesia pada 6 Mei lalu.

Delegasi TISSA-UUM yang diketuai Dekan, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali itu mengadakan pertemuan yang memfokuskan kepada perkongsian ilmu mengenai Praktik Baik Pengelolaan Kewangan Lembaga Ekonomi Desa di Malaysia. Delegasi TISSA-UUM telah disambut baik oleh jajaran kepimpinan dan staf Direktorat Jenderal PPDT di Jakarta.

Menurutnya, menerusi sesi pemindatahan ilmu merentas sempadan tersebut, pakar dari TISSA-UUM membentangkan mekanisme dan kerangka kerja yang diamalkan di Malaysia dalam menguruskan entiti ekonomi di peringkat akar umbi.

“Antara pengisian utama termasuklah sistem Perakaunan Desa, kelestarian ekonomi, dan tadbir urus terbaik.

“Melalui inisiatif seperti ini, TISSA-UUM membuktikan peranannya bukan sahaja sebagai institusi akademik terkemuka, malah sebagai rakan strategik yang aktif menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di peringkat global, khususnya di Asia Tenggara,” katanya.

Pihak Direktorat Jenderal PPDT melalui Direktur Penerasian Pembangunan Daerah Khusus, Dr. Haykal Amal menyambut baik perkongsian ini sebagai rujukan penting dalam usaha mereka mempercepatkan transformasi ekonomi di kawasan luar bandar dan daerah tertinggal di Indonesia.

Menurutnya, dialog dua hala ini juga membuka ruang kepada potensi kolaborasi penyelidikan dan latihan pada masa hadapan.

“Pertukaran idea ini bukan sekadar tentang perkembangan dan praktis baik pengelolaan, tetapi tentang bagaimana sistem yang kukuh dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat desa secara inklusif,” katanya.

Pertemuan diakhiri dengan sesi bergambar bersama dan penyerahan cenderahati sebagai simbolik pengukuhan hubungan akrab antara institusi pendidikan Malaysia dan badan kerajaan Indonesia.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz; Setiausaha The 7th International Qualitative Research Conference, Prof. Madya Dr. Hafizah Abd Mutalib; Timbalan Pengerusi The 7th International Qualitative Research Conference, Dr. Adura Ahmad dan Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan, Dr. Nor Atikah Shafai.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button