Education

Dari Sintok Ke Bandung: Pelajar teroka inovasi sisa makanan kepada nilai

Gambar STIA LAN, Bandung

INDONESIA, 11 Mei 2026: Seramai 29 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Khidmat Masyarakat bertajuk From Waste to Worth: Building Sustainable and Creative Communities yang dilaksanakan di Bandung, Indonesia.

Program ini merupakan sebahagian daripada Program Jaringan Ilmiah antara Universiti Utara Malaysia dan Politeknik Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi (STIA LAN), Bandung, Indonesia di bawah inisiatif Program Mobiliti Antarabangsa Luar Bukan Kredit.

Penyertaan ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Persatuan Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Kerajaan dan Inasis Bank Islam UUM. Delegasi UUM terdiri daripada pelajar Persatuan Pengurusan Pembangunan dan pelajar Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam dengan diiringi empat pensyarah iaitu Dr. Khofizhoah Mohd Karim, Dr. Adi Syahid Mohd Ali, Dr. Aidanajwa Sabri dan Dr. Mariah Darus @ Mat Junus.

Dr. Khofizhoah berkata, rangkaian aktiviti dimulakan dengan program yang digerakkan oleh EcoMove Politeknik STIA LAN Bandung menerusi sesi perkongsian ilmu berkaitan amalan pengurusan sisa makanan di Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta tentang pendekatan, cabaran dan amalan terbaik dalam pengurusan sisa makanan, khususnya dalam konteks komuniti setempat.

Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan pembelajaran secara langsung mengenai pengurusan sisa organik melalui lawatan ke Rumah Magoot (Black Soldier Fly (BSF)) yang terletak di kawasan Kelurahan Tamansari (Kampung Tamansari), Kecamatan Bandung Wetan (Daerah Bandung Timur), Kota Bandung. Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara dekat kaedah pengurusan sisa organik yang dilaksanakan secara berasaskan komuniti.

“Program seumpama ini memberi nilai tambah kepada pelajar kerana mereka bukan sahaja memperoleh ilmu di luar bilik kuliah, malah dapat memahami bagaimana komuniti tempatan memainkan peranan penting dalam menangani isu alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Dr. Adi Syahid menyifatkan pendekatan bottom-up seperti yang diamalkan dalam pengurusan sisa di Bandung sebagai langkah strategik dalam memastikan pengurusan sisa domestik dapat dilaksanakan secara mampan dan berterusan.

Menurutnya, penglibatan pelajar dalam program mobiliti antarabangsa seperti ini mampu memperkukuhkan kemahiran insaniah, kepimpinan, komunikasi rentas budaya dan kepekaan sosial terhadap isu komuniti.

Program ini turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pengurusan sisa makanan berasaskan komuniti, selaras dengan keperluan semasa dalam membina masyarakat yang lebih lestari, kreatif dan berdaya tahan.

Melalui pendedahan ini, pelajar dapat memahami bahawa sisa makanan bukan sekadar isu alam sekitar, malah boleh dilihat sebagai sumber yang berpotensi jika diurus secara inovatif. Program ini turut menjadi inspirasi kepada pelajar untuk melaksanakan usaha ini di Malaysia.

Selain itu, pensyarah pengiring program turut dilantik oleh Pemerintah Kota Bandung sebagai Academic Representative dan Consultant bagi Projek Pengurusan Sisa yang dilaksanakan bersama Pemerintah Kota Bandung.

Pelantikan ini bertujuan bagi mendapatkan pandangan akademik dan perkongsian pengalaman daripada negara serantau dalam usaha memperkukuh pengurusan sisa makanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kelestarian alam sekitar, malah menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih kreatif, berdaya tahan dan berwawasan.

Program From Waste to Worth: Building Sustainable and Creative Communities ini menjadi platform bermakna kepada pelajar UUM untuk memperluaskan perspektif global, membina jaringan antarabangsa serta menghayati peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti lestari.

Pelaksanaan program ini juga mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman, mobiliti antarabangsa dan jaringan ilmu rentas negara, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.- Dr. Aidanajwa Sabri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button