General

UUM dan MSU meterai kerjasama strategik, pacu revolusi pendidikan industri kreatif negara

Gambar Shamsaimi Ezil

SHAH ALAM, 11 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Management and Science University (MSU) hari ini mencipta detik bersejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan pendidikan tinggi serta industri kreatif negara.

Majlis yang berlangsung di kampus MSU Shah Alam itu menyaksikan kedua-dua institusi berprestij ini bergabung kepakaran dalam memperkukuhkan bidang penyelidikan, program akademik, mobiliti pelajar dan jaringan perundingan antarabangsa.

UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, manakala MSU diwakili Presiden & Pengasas, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.

Kerjasama berimpak tinggi itu turut mendapat perhatian apabila ia didorong oleh aspirasi Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Canselor MSU yang mahu hubungan erat antara kedua-dua universiti diterjemahkan melalui pencapaian akademik dan inovasi bertaraf global.

Dr. Ahmad Martadha berkata, antara fokus utama kerjasama tersebut ialah pelaksanaan Program Ijazah Berkembar melibatkan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM (SCIMPA) dan School of Hospitality & Creative Arts MSU (SHCA).

“Inisiatif itu dijangka membuka peluang lebih luas kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman akademik dan industri daripada dua institusi terkemuka, sekali gus melahirkan graduan kreatif yang mempunyai daya saing antarabangsa.

“Selain itu, kedua-dua institusi turut merancang pelaksanaan program pertukaran staf akademik serta penyelidikan bersama melalui geran padanan yang diyakini mampu memperhebat penerbitan ilmiah dan inovasi dalam sektor kreatif negara,” katanya.

Naib Canselor berkata, kolaborasi ini adalah langkah strategik “menang-menang” yang bukan sahaja memperkukuhkan ekosistem pendidikan tinggi negara, malah berpotensi melonjakkan Malaysia sebagai hab pendidikan industri kreatif di rantau ini.

Menurutnya, kerjasama UUM dan MSU juga dilihat selari dengan keperluan semasa industri yang semakin menuntut bakat kreatif berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya tahan di peringkat global.

Sementara itu, Dr. Mohd Shukri berkata, kerjasama hari ini wajar diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi, khususnya antara universiti dan juga syarikat swasta.

Menurutnya, kerjasama strategik ini penting bagi memperkukuhkan budaya perkongsian ilmu, meningkatkan daya saing serta memperkasakan pembangunan pendidikan dan inovasi negara.

Selain itu, katanya, kolaborasi yang erat antara institusi pendidikan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan akan membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.

“Usaha yang dimulakan hari ini diharap dapat terus berkembang dan diperluaskan pada tahun-tahun mendatang.

“Inilah hala tuju, fokus dan komitmen bersama yang akan terus kita jayakan,” katanya.

Hadir sama, Naib Canselor MSU, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd Hamid; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Naib Presiden Akademik, Prof. Datin Dr. Norhisham Mohamad; Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoorbin Che Mat; Dekan SHCA, Dr. Azizul Jamaludin dan pegawai-pegawai kanan UUM serta MSU.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button