UBA perkasa jalinan komuniti bersama Sahabat PEYATIM dan e-Idaman
Gambar Ahmad Laqis Nurun Ihsan dan Mohd Aiman Fazuri Ismail
SINTOK, 18 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Unit Bahasa Antarabangsa (UBA) terus mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan pemantapan sahsiah warganya melalui penganjuran Program “Bersama Berbakti, Membina Generasi”.

Program yang menggabungkan elemen tanggungjawab sosial universiti (USR) dan aktiviti kerja berpasukan (team building) itu melibatkan semua staf akademik dari Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP).
Pengarah Program, Aida Husni Abdul Hamid berkata, inisiatif ini dirangka khas sebagai platform strategik untuk memperkasakan peranan staf akademik bukan sekadar sebagai pendidik di dewan kuliah, malah bertindak sebagai agen perubahan sosial dan pemangkin pembangunan masyarakat.
Memnurutnya, melalui program bersemuka ini, peserta berpeluang menyumbang kepakaran, ilmu pengetahuan, serta masa mereka dalam menyantuni komuniti anak-anak yatim demi memupuk nilai empati, keprihatinan sosial, dan semangat kesukarelawanan.

“Saya bersyukur dan bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat sepanjang dua hari program ini berlangsung.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja mahu melahirkan warga kerja yang cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai jiwa yang besar untuk berbakti kepada masyarakat. Pengisian pembelajaran bahasa antarabangsa dan kesedaran alam sekitar bersama e-Idaman diharapkan dapat membuka minda anak-anak yatim di Rumah Budi Yan untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Program ini mendapat kerjasama erat daripada Sahabat PEYATIM Cawangan Kedah/Perlis sebagai rakan komuniti utama. Selain bertujuan menyebarluas kepentingan tanggungjawab sosial, program ini turut menjadi medan unik untuk memperkenalkan kepelbagaian bahasa antarabangsa yang boleh diterokai oleh anak-anak yatim ini sebagai nilai tambah masa depan mereka.

Pelaksanaan program secara bersemuka ini nyata memberikan impak mendalam dalam perkongsian ilmu, di samping berjaya mengukuhkan ukhwah yang sedia terjalin antara anak-anak yatim dengan staf yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung.
Bagi memberikan impak yang lebih menyeluruh, UUM turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama syarikat pengurusan sisa pepejal dan alam sekitar, e-Idaman. Kolaborasi ini memberikan nilai tambah serta pengalaman baharu yang sangat bernilai kepada semua peserta yang terlibat.
Selain memberi fokus kepada kelestarian komuniti luar, program ini juga menjadi medium pengukuhan dalaman (internal bonding) bagi tenaga pengajar, Unit Bahasa Antarabangsa. Aktiviti kerja berpasukan yang diselitkan sepanjang program direka bertujuan untuk memupuk semangat kebersamaan, mengasah bakat kepimpinan, membina hubungan profesional yang baik, serta mewujudkan nilai daya tahan (resilience) sesama rakan sekerja dalam apa jua situasi.

Penekanan terhadap aspek komunikasi efektif, kepimpinan, dan penyelesaian masalah secara kolektif ini dijangka akan memberikan impak rantaian (ripple effect) yang positif terhadap peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di universiti.
Gabungan aktiviti USR dan pengukuhan pasukan ini berjaya membentuk warga kerja akademik yang seimbang dari segi kompetensi profesional, nilai insaniah, dan kesejahteraan emosi. Usaha berterusan ini menyokong penuh visi UUM untuk terus kekal sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul, relevan, dan memberi impak yang nyata kepada masyarakat. – Zeety Kartini Abdul Hamid



