Campus

Program Ikhlas Padawan 2.0 rungkai kesedaran perlindungan kewangan Islam

Berita dan gambar Dr. Noraziah Che Arshad

SINTOK, 17 Mei 2026: Program perkongsian ilmu bertemakan literasi dan perlindungan kewangan telah diadakan di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, UUM, hasil kolaborasi strategik antara Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), School of Hard Knocks (SoHK), dan Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB).

Pensyarah IBS, Dr. Noraziah Che Arshad berkata, kolaborasi bermakna antara pihak universiti dan industri ini diharapkan dapat merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan industri sebenar, di samping memupuk kesedaran yang tinggi tentang peri pentingnya persediaan kewangan yang kukuh demi masa depan.

Menurutnya, program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada realiti industri perlindungan kewangan Islam semasa, dan telah dikendalikan oleh dua penceramah berpengalaman dari TIFB iaitu Zulfakar Rahim dan Ahmad Bukhari Rahman.

Sesi perkongsian ini dibahagikan kepada tiga segmen utama bagi memastikan penyampaian maklumat yang komprehensif dan mudah difahami oleh peserta.

Dalam sesi pertama, penceramah mengupas secara mendalam mengenai ciri-ciri, kelebihan, serta manfaat pelbagai produk perlindungan yang terdapat di pasaran masa kini. Perhatian khusus diberikan kepada penawaran inovatif daripada Takaful Ikhlas.

Sesi kedua diteruskan dengan pendekatan yang lebih interaktif menerusi teknik penceritaan (storytelling) di mana penceramah berkongsi mengenai data semasa di industri dan menterjemahkannya ke dalam bentuk naratif yang dekat dengan realiti kehidupan. Pendekatan ini membantu peserta memahami kepentingan perlindungan takaful secara praktikal dan bukannya sekadar teori.

Program ini diakhiri dengan sesi ketiga yang merupakan sesi bimbingan bersemuka antara mentor dan mentee. Menerusi segmen dua hala ini, peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan mentor untuk mendapatkan nasihat praktikal, berkongsi pandangan, serta bertanyakan soalan yang lebih spesifik mengenai kerjaya dan industri takaful.

Bimbingan ini dilihat sangat kritikal bagi mempersiapkan pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button