KORSISPA UUM semarak aspirasi belia berwawasan
Berita dan gambar oleh Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Utara Malaysia (KORSISPA UUM)
SINTOK, 16 Mei 2026 – Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Utara Malaysia (KORSISPA UUM) telah melaksanakan Program Bacaan Ikrar Belia Malaysia Sempena Hari Belia Negara Tahun 2026 bertempat di kawasan parkir DKG 6.
Program ini dilaksanakan selaras dengan seruan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjayakan bacaan Ikrar Belia Malaysia secara serentak sempena Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 yang membawa tema “Menggerak Belia”. Pelaksanaan ini turut mendukung usaha memperkukuh semangat patriotisme, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia.

Majlis ini turut mendapat sokongan daripada Timbalan Komandan KORSISPA UUM, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, dalam memperkasakan penglibatan pegawai kadet melalui aktiviti yang membina sahsiah, disiplin dan semangat kenegaraan.
Bacaan ikrar telah dikendalikan oleh Lt. (PA) Md Saifudin Saad selaku jurulatih, manakala penyelarasan program turut digerakkan oleh PKS Izatul Akmal Maisarah Md Hisham, Pengerusi KORSISPA UUM.

Penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan pegawai kadet. Selain itu, program ini menjadi platform untuk memupuk nilai perpaduan, tanggungjawab sosial serta semangat belia berwawasan seiring dengan aspirasi Hari Belia Negara 2026.
Seramai 38 orang pegawai kadet telah terlibat dalam program ini, terdiri daripada 8 orang PKS Senior dan 30 orang PKS Pertengahan. Penglibatan aktif para peserta mencerminkan komitmen warga KORSISPA UUM dalam menyokong usaha melahirkan generasi belia yang berdisiplin, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara.
Program berakhir dengan penuh semangat kebersamaan serta tekad untuk terus menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Ikrar Belia Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan KORSISPA UUM dalam membentuk belia yang berjiwa patriotik, berkepimpinan dan berwawasan.



